Kerajaan dicadang bina hospital APM

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan dicadang supaya mewujudkan sebuah pusat perubatan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) bagi mengenang jasa serta khidmat pasukan  itu kepada masyarakat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata  cadangan itu adalah wajar memandangkan jumlah keseluruhan anggota sukarelawan APM di seluruh negara setakat ini sangat besar iaitu melebihi 2.2 juta orang.

“Hari ini sukarelawan APM jumlahnya melebihi 2.2 juta dan  yang aktifnya ratusan ribu. Jadi tak salah kalau kita wujudkan satu pusat perubatan untuk APM seperti juga pusat perubatan angkatan tentera.

- Advertisement -

Tetapi ini cuma cadangan, kalau kerajaan bersetuju contohnya, ia akan menunjukkan kerajaan amat peka dan (penubuhan hospital) akan beri kebaikan serta manfaat kepada APM yang kita lantik sebagai sukarelawan yang diurus oleh pegawai tetap kerajaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Khas Menteri di Jabatan Perdana (Tugas-tugas Khas) bersama Ketua Pesuruhjaya APM dan APM Terengganu di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Mohd Redzuan turut menyampaikan watikah pelantikan pegawai kehormat, pegawai bersekutu dan pegawai pasukan pertahanan awam kepada 34 orang penerima yang terdiri daripada  kumpulan tenaga akademik dan profesional.
 
Dalam perkembangan lain, Mohd Redzuan berkata APM juga dalam proses menambah  baik kelengkapan logistik sebagai persediaan menghadapi sebarang bencana  serta mengurus kes-kes kecemasan.

Katanya, untuk permulaan sebanyak 30 kenderaan pacuan empat roda yang bernilai RM4.1 juta akan diagihkan ke beberapa negeri yang sering terlibat banjir seperti Terengganu, Kelantan, Sabah dan Kedah pada tahun ini.

“Tambahan aset ini adalah ‘proses berterusan’ untuk memastikan APM sentiasa berada dalam kesiapsiagaan sebaik mungkin menghadapi bencana seperti banjir yang saya sebut di negeri-negeri itu tadi.

Banyak juga kenderaan lain yang perlu kita perbaharui seperti ambulans pun perlu kita tukar sebab dah terlalu lama. Mana-mana kenderaan yang melibatkan kos penyelenggaraan tinggi eloklah kita ganti dengan yang baharu,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -