TELUK INTAN: Keputusan BERSATU menyertai Muafakat Nasional (MN) akan memberi faedah besar kepada hal ehwal berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu, Bumiputera bahkan negara seluruhnya.
Pesuruhjaya PAS Negeri Perak, Razman Zakaria juga berkata, penyertaan BERSATU malah memantapkan lagi MN setelah pula parti itu sanggup mengorbankan kedudukannya dalam Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Terang beliau, BERSATU sanggup keluar dari PH dan mahu bersama agenda penyatuan ummah serta menyelamatkan negara dari kepincangan PH yang akhirnya dari titik tersebut jugalah terbentuknya Kerajaan Perikatan Nasional.
“Gabungan ketiga-tiga parti merupakan gandingan terbaik dan telah dapat dilaksanakan di Perak,” ujarnya semasa Lawatan Kerja Ke Daerah Hilir Perak di Sekolah Rendah Agama Al-Munir, di sini semalam.
Beliau yang juga EXCO Kerajaan Negeri Perak mengalu-alukan keputusan oleh Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU sebagaimana diumumkan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada awal minggu ini.
Menurutnya, ketiga-tiga Presiden PAS, Umno dan BERSATU juga telah sedia bekerjasama untuk memperkasakan kepentingan nasional dan negeri sebagaimana juga komitmen Dato’ Seri Faizal Azumu di Perak.
Sementara itu menyentuh berhubung permohonan mahasiswa Timur Tengah yang akan diterima masuk ke Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), beliau memaklumkan mesyuarat bersama Naib Canselor USAS, Tan Sri Prof Dr Nordin Kardi akan memperincikannya.
Katanya, terdapat sekitar 800 permohonan mahasiswa yang terkesan akibat pandemik COVID-19 dan tidak dapat meneruskan pengajian mereka dan bakal diterima menyambungnya di USAS. – HARAKAHDAILY 20/8/2020