TANJUNG MALIM: Para pengundi PRK DUN N.58 Slim perlu memberi kemenangan dengan majoriti besar kepada calon BN yang mewakili Perikatan Nasional dan memastikan calon Bebas hilang deposit agar memberi mesej kepada pemimpin pembangkang.
Setiausaha PAS Negeri Kelantan, Dato’ Che Abdullah Mat Nawi yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, walaupun dua penyertaan lagi bertanding sebagai calon Bebas, tetapi beliau menyifatkan mereka itu hakikatnya mempunyai ‘kepala’ di belakang.
“Jadi, sokongan yang kuat ini diharapkan sampai hilang depositlah calon-calon bebas itu. Supaya hantar mesej yang jelas kepada pemimpin-pemimpin politik khususnya pembangkang yang masih merasakan mereka ada sokongan rakyat.
“Sebenarnya oleh kerana tidak ada pilihan raya, rakyat tak boleh nak tunjuk bahawa mereka silap buat pilihan masa pilihan raya yang lalu, dan mereka (pembangkang) sudah pun berada di Parlimen, jadi tak boleh nak buat apa-apa.
“Jadi, di sini ada pilihan raya, rakyat boleh tunjuk sokongan kepada Perikatan Nasional bahawa pilihan rakyat masa pilihan raya yang lepas itu adalah satu kesilapan,” ujarnya di program Santai Peladang di Kampung Rahmat, Changkat Sulaiman, Sungkai pagi tadi.
Katanya, melalui PRK itu, penduduk Slim akan mewakili rakyat Malaysia untuk menunjukkan mesej tersebut dan biarpun calon-calon Bebas memperkenalkan diri dalam kempen mereka dengan pelbagai latarbelakang, tetapi hakikat ia mewakili pihak tertentu.
Jelasnya, penonjolan sebegitu adalah perkara biasa untuk mencari kekuatan, tetapi perjuangannya tetap akan diwakili oleh perjuangan partinya, sebagaimana contohnya PAN yang bersama DAP ia akan memperkasa atau menguatkan DAP. – HARAKAHDAILY 20/8/2020