PRN Sabah: Undi anak muda penentu kemenangan

- Advertisement -

SUSULAN Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal dilaksanakan pada 26 September ini, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah melihat kemenangan satu-satu parti politik atau gabungan politik akan ditentukan oleh pengundi anak muda.

- Advertisement -

Anak muda yang mewakili 40.1 peratus daripada pemilih berdaftar negeri Sabah bakal mencorakkan landskap politik negeri ini pada pilihan raya yang menjelang tiba.

Sekiranya Pilihan Raya Negeri Sabah ini tidak digunakan sebaiknya untuk memilih calon anak muda atau yang memiliki idea segar dan baharu, sudah pasti negeri Sabah akan berada di takuk lama tanpa penambahbaikan yang sangat diharapkan oleh rakyat.

Sehubungan itu, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengajak anak muda dan rakyat Sabah untuk memberi peluang kepada calon anak muda berpotensi yang memiliki aspirasi baharu dan sesuai dengan kehendak semasa bagi memajukan negeri.

Dalam perkara sama, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah turut menyatakan komitmen untuk bertanding di mana-mana kerusi yang diarahkan oleh kepimpinan tertinggi parti dan telah bersedia dengan barisan calon berwibawa dalam kalangan anak muda tempatan Sabah.

Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah komited untuk melahirkan pemimpin anak muda yang berpandangan jauh dan tetap berjiwa lokal bagi membawa pembangunan kepada negeri.

Justeru, Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah mengajak anak muda termasuk para pengundi secara umumnya untuk memberi peluang kepada anak muda bagi menunjukkan kemahiran dan kebolehan dalam mengurus negeri yang kita cintai bersama ini.

Sekian, terima kasih.

“Muafakat Menuju Kemenangan”

MUSTAMAN MUSTAIN
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah – HARAKAHDAILY 19/8/2020

- Advertisement -