Perutusan Hijratul Rasul MB Kelantan

FIRMAN Allah S.W.T:

Advertisement

ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ وَهَاجَرُواْ وَجَٰهَدُواْ فِي سَبِيلِ ٱللَّهِ بِأَمۡوَٰلِهِمۡ وَأَنفُسِهِمۡ أَعۡظَمُ دَرَجَةً عِندَ ٱللَّهِۚ وَأُوْلَٰٓئِكَ هُمُ ٱلۡفَآئِزُونَ

“Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad di jalan Allah dengan harta dan diri mereka, adalah lebih tinggi darjatnya di sisi Allah; dan merekalah orang-orang yang mendapat kemenangan.”

(at-Taubah: 20)

Tema Majlis Sambutan Hijratul Rasul S.A.W Peringkat Negeri Kelantan pada tahun ini ialah ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’.

Islam merupakan satu sistem hidup yang bersifat rabbani dan menganjurkan kepada manusia agar sentiasa berlaku adil dalam setiap tindakan yang diambil. 

Islam menyeru agar meletakkan sesuatu pada tempat yang sewajarnya, memberikan hak kepada yang berhak menerimanya serta menghukum manusia yang bersalah dengan hukuman yang setimpal tanpa membezakan antara manusia. 

Ini semua merupakan perkara-perkara yang sangat ditekankan dalam ajaran Islam. Sebagaimana Islam memberikan penekanan kepada kedamaian hidup individu baik daripada aspek fizikal dan mental seseorang, Islam juga melalui sistem hidupnya menggalakkan keharmonian masyarakat dan keamanan bersama, agar semua manusia dapat menjalani kehidupan di dunia ini dengan aman dan damai.

Sejarah peristiwa Hijratul Rasul S.A.W telah menunjukkan yang agama Islam telah banyak membentuk masyarakat Islam yang harmoni tanpa mengira kaum dan suku. Jika sebelum itu masyarakat jahiliah mempunyai semangat Asabiah terhadap kabilah dan suku masing-masing, akan tetapi Islam telah mengikat hubungan sesama mereka dengan ikatan akidah Islam. 

Konsep ikatan persaudaraan seakidah menitikberatkan konsep persamaan taraf di sisi Allah. Selain itu juga, kejayaan masyarakat Islam yang pertama dalam sejarah Islam ialah penggubalan dokumen Perlembagaan Negara secara bertulis yang pertama iaitu Perlembagaan Madinah. 

Melalui perlembagaan ini, Rasulullah S.A.W berjaya menunjukkan cara pemerintahan Islam yang lengkap sebagai sebuah negara yang aman lagi harmoni, selamat lagi sejahtera, makmur lagi bahagia berpandukan kepada hukum Allah S.W.T.

Saya bersama saff kepimpinan Kerajaan Negeri Kelantan mengucapkan Salam Maal Hijrah 1442 kepada seluruh umat Islam. Semoga dengan tahun baharu ini kita sentiasa di bawah naungan rahmat, taufik serta hidayah daripada Allah S.W.T.

“Merakyat Membangun Bersama Islam

DATO’ BENTARA KANAN 
USTAZ DATO’ AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan – HARAKAHDAILY 19/8/2020