Penguat kuasa PBT perlu adil, berintegriti

- Advertisement -

SAYA dihujani dengan beberapa aduan dari para penjaja kecil terutamanya Bumiputera sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor. Ada di antara mereka saya kenal secara peribadi telah lama menjaja bagi menyara kehidupan. Mereka ini bukan penjaja sambilan, tetapi sepenuh masa sebagai mata pencarian utama.

Antara aduan yang sering saya dengar adalah tindakan berat sebelah pihak sesetengah (bukan semua) penguat kuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyaman, menghalau, dan mempersulitkan proses pemberian lesen atau tempat berniaga yang sepatutnya. 

Ada juga yang mengeluh layanan istimewa diberi oleh sesetengah penguat kuasa PBT itu terhadap peniaga dan penjaja tertentu yang mempunyai ‘kepentingan’ dengan orang dalam PBT di kawasan-kawasan tertentu. Ini boleh menjadi kes salah guna kuasa dan rasuah jika dilaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jika terdapat bukti kukuh.

Apa yang terjadi di Sungai Buloh melibatkan beberapa penguat kuasa Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mungkin kemuncak terhadap gejala korupsi yang seringkali dikaitkan dengan imej penguat kuasa PBT di negara ini sungguhpun hakikatnya tidak semua penguat kuasa PBT itu korup, zalim dan pincang tugas.

- Advertisement -

Rentetan dari pendedahan orang awam di media sosial serta  tindakan pihak berkuasa terhadap kes peniaga warga asing di Sungai Buloh itu, maka seolah-olah terdapat gelombang penguatkuasaan PBT di sekitar Lembah Klang yang disifatkan sebagai operasi ‘balas dendam’ oleh media massa, di mana yang turut menjadi ‘mangsa’ ialah para penjaja tempatan.

Kelompok tersebut berasa marah kerana notis yang diberikan cukup singkat, tiada budi bicara untuk sebarang proses perpindahan atau panduan untuk mendaftarkan lesen, malah tindakan penguatkuasaan PBT yang bermusim dan terpilih juga turut dijadikan alasan mereka yang mendakwa diri sebagai ‘mangsa’ kezaliman PBT. Sama ada benar atau tidak segala dakwaan itu bergantung kepada laporan serta bukti yang diserahkan kepada pihak polis dan SPRM untuk menyiasatnya.

Apa yang saya perhatikan di sini ialah punca serta akibat dari masalah yang membelenggu reputasi para penguat kuasa PBT terutama di bandar-bandar besar. Apakah punca kepada keadaan ini jika bukan kerana Prosedur Operasi Piawai (SOP) serta Indeks Pencapaian Utama (KPI) yang tidak mantap atau dipatuhi. Ia membabitkan sistem pemantauan, semak imbang dan audit wajar dipermantapkan bagi memastikan tahap integriti tertentu dicapai dalam menjalankan tugas.

Akibat dari amalan budaya kerja atau penguatkuasaan yang kurang berintegriti, maka ketidak-adilan boleh berlaku. Akan terdapat ruang-ruang untuk pihak tertentu memanipulasikan kelompongan integriti tersebut bagi kepentingan peribadi dan bisnes mereka. Lantas negara boleh tergadai apabila kebanjiran warga asing selama ini mula melimpah ruah menjadi para peniaga, penjaja malah pedagang secara bebas di negara kita.

Maka perlu ada solusi konkrit yang bersifat ‘daerah’ dan peringkat nasional bagi menyelesaikan imej integriti PBT di negara ini. Antara yang boleh dicadangkan ialah penggunaan teknologi seperti sistem aplikasi atas talian melalui komputer atau telefon pintar untuk sebarang urusan permohonan lesen, laporan, surat kebenaran dan lain-lain urusan, bagi mengurangkan interaksi langsung antara manusia, lantas mengurangkan kemungkinan korupsi dalam PBT.

Juga saya mencadangkan agar diwujudkan satu sistem digital bersepadu yang melibatkan pemasangan kamera CCTV berserta kepintaran buatan (A.I) bagi memantau sebarang aktiviti di kawasan-kawasan yang seringkali menjadi tumpuan orang ramai. Hukuman yang berat juga wajar diberikan terhadap para pemberi rasuah dan pihak yang mendorong penguat kuasa untuk menyalah-gunakan kuasa mereka. Pendek kata satu revolusi perlu dilakukan bagi memperkasakan kembali fungsi PBT di negara ini.

DR. MUHAMMAD FAIZ NA’AMAN
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi
Parti Pribumi BERSATU Malaysia – HARAKAHDAILY 19/8/2020

PENAFIAN:

HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -