PEJUANG akan pecah, rugikan kuasa politik Melayu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Penubuhan PEJUANG sebagai satu lagi parti politik baharu tanah air oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hakikatnya bertentangan dari ucapan yang pernah diungkapkan beliau sebelum-sebelum ini.

- Advertisement -

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, lagi banyak parti ditubuhkan berkaitan dengan orang Melayu maka lebih besar perpecahan dalam kalangan kaum tersebut yang perkara itu patut diingati semula oleh Tun Mahathir.

“Tak tahulah dia lupa ke dak, saya tak tahulah. Ini akan memecahkan kuasa politik orang Melayu menjadi lebih kecil dan lebih mudah ditewaskan. Rugilah orang Melayu,” ujar beliau yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat.

Beliau mengulas perkara itu setelah diajukan wartawan mengenainya pada sidang media mingguan selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Alor Setar, sebentar tadi.

Sebaliknya tegas Sanusi, asas kepada penyatuan orang-orang Melayu ialah perpaduan ummah tanpa mengira di atas nama Muafakat Nasional mahupun Perikatan Nasional di mana mereka yang mahu bersatu padu mesti diterima koalisi itu atas sebarang nama.

“Perpaduan ummah nombor satu, then baru kita tengok apa kepentingan politik yang ada di dalam itu,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah.

Beliau turut menyangkal bahawa PAS pernah mencadangkan supaya BERSATU dibubarkan sebaliknya menegaskan bahawa Presiden PAS telah membuat kenyataan menyambut baik kedatangan BERSATU dalam Muafakat Nasional.

“Apa-apa coalition yang menguntungkan orang Melayu dan mengukuhkan perpaduan ummah, PAS bergerak ke arah itu. Dan sebarang langkah-langkah yang menggugat perpaduan ummah, kita akan bersedia menghadapinya,” jelas beliau. – HARAKAHDAILY 19/8/2020

- Advertisement -