Kluster Sivagangga: CAKE tuntut RM1 juta

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (CAKE) mewakili lebih 200 penduduk serta peniaga yang terjejas akibat penularan COVID-19 di Napoh, memfailkan saman di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, terhadap pemilik kedai Nasi Kandar Salleh yang didakwa menjadi pencetus Kluster Sivagangga di kawasan itu.

Setiausaha CAKE Mohamad Yusrizal Yusoff berkata saman itu difailkan terhadap Nezar Mohamed Sabur Batcha, 57, menerusi peguam Mohammad Zunun Baihakky kira-kira jam 10 pagi tadi.

“Dalam tuntutan itu CAKE selaku plaintif, menamakan Nezar Mohamed sebagai defendan dan dalam saman itu kami menuntut pampasan lebih RM1 juta daripada defendan antaranya untuk ganti rugi khas, ganti rugi teladan dan ganti rugi nominal.

- Advertisement -

“Kami juga memohon suatu injunksi interim terhadap defendan bagi menghalang dia (defendan) keluar dari Napoh,” katanya kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Alor Setar.

Kluster Sivagangga tercetus apabila Nezar Mohamed ingkar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO), selepas pulang dari India dan dia didapati positif COVID-19.

Nezar Mohamed pada Khamis lalu dijatuhi hukuman denda RM12,000 dan penjara lima bulan, selepas mengaku bersalah tidak mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian terhadapnya pada Julai lepas. – BERNAMA

- Advertisement -