Hijrah mengembang kebaikan ke seluruh dunia

- Advertisement -

BUKANLAH Nabi itu seorang pelarian, tapi hijrah itu atas perintah Allah S.W.T. Dan cabaran-cabaran dihadapi oleh Baginda di Makkah dan sambutan Sahabat-sahabat (R.A) di Madinah yang mengembangkan agama ini ke seluruh dunia 1400 tahun perjalanannya, rahmatnya terlalu besar dalam peristiwa Hijrah.

- Advertisement -

Di Madinahlah bermula episod baru pengembangan-pengembangan Islam sehinggalah ke benua-benua yang tidak dapat dijangkau pada masa itu bukan sahaja di Semenanjung Tanah Arab di Jazirah Arab, malah Islam telah tersebar sampai ke Artik, ke Jepun, ke Amerika, ke Sepanyol, ke Andalus, ke semua daerah-daerah belahan bumi ini hasil daripada pengorbanan-pengorbanan yang dimulai dengan peristiwa Hijrah.

Kemudian itu dibawa Islam ini oleh para pedagang dan pendakwah sampailah Islam itu kepada kita atas besarnya nikmat dan rahmat Allah yang diberikan berdasarkan pengorbanan.

Jadi Awal Muharram, peristiwa Hijrah sangkut paut besarnya adalah pengorbanan dan susah payah untuk mengembangkan kebaikan ini ke seluruh dunia. Islam diturunkan untuk membawa rahmat ke seluruh alam.

Rahmat ini datang kepada kita hasil pengorbanan Nabi dan para Sahabat atas perintah Allah S.W.T. Jadi ada orang mendakwah bahawa Nabi itu pelarian apa semua itu tidak benar.

Dan marilah kita mengambil semangat daripada Awal Muharram esok ini, dengan besarnya peristiwa Hijrah, kita melakukan Hijrah dalam diri kita, kepada yang lebih baik. Hijrah untuk mencari keredhaan Allah S.W.T, melakukan perkara-perkara yang lebih baik daripada keadaan di masa lalu.

Pastikan esok adalah lebih baik daripada hari ini, bermula dengan sambutan Awal Muharram. Kita nak mulakan buku catatan amal kita pada tahun baru Hijrah ini dengan catatan kebaikan dan pahala yang banyak.

Dan kita nak sucikan, mohon ampun daripada Allah terhadap dosa-dosa yang telah lalu. Inilah saya rasa semangat Hijrah yang patut ada di kalangan kita bersempena dengan sambutan Awal Muharram pada esok hari.

Saya mengajak seluruh rakyat Negeri Kedah untuk mengambil ibrah daripada Hijrah Nabi S.A.W untuk memperbaiki keadaan diri, memperbaiki keluarga, memperbaiki masyarakat kita, daripada apa-apa ejen kerosakan, ejen-ejen perpecahan, ejen-ejen pertembungan dan pertelingkahan untuk kembali mencari penyatuan.

Sama-sama berkorban, berhijrah meninggalkan kepentingan diri, mengutamakan kepentingan orang ramai, melihat kepentingan ummah lebih besar daripada diri sendiri untuk melihat negeri ini lebih maju dengan penyatuan dan perpaduan daripada kita berundur ke belakang, akibat kita berpecah belah.

MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Menteri Besar Kedah – HARAKAHDAILY 19/8/2020

*Diucapkan pada sidang media di Wisma Darul Aman, Alor Setar selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah, sebentar tadi

- Advertisement -