Pemuda sedia jadi tonggak perpaduan

- Advertisement -

BUKIT KATIL: Pemuda PAS Negeri Melaka menyerlahkan peranan mereka untuk merealisasikan ‘Pemuda Teras Perpaduan’ yang menjadi tema Muktamar Tahunan menerusi kehadiran rakan muafakat daripada Pemuda Umno dan Armada BERSATU pada majlis, kelmarin.

- Advertisement -

Buat julung kalinya secara rasmi, Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Ahmad Bilal Rahuddin berada sepentas bersama Ketua Pemuda Umno Melaka, Mohd Fairol Roslan dan Ketua Armada BERSATU Melaka, Ramlan Meon.

Dalam ucaptamanya, Ahmad Bilal menegaskan bahawa bangsa, wang ringgit dan pelbagai lagi boleh menjadi asas perpaduan, namun asas ini adalah tidak kekal dan lemah, melainkan Islam sebagaimana sejarah telah buktikan.

Kupasnya, sejarah di Madinah itu menjadi titik mula tersebarnya keadilan ke seluruh alam dengan dunia merasai nikmat keamanan yang wujud hasil daripada perpaduan tidak kira Muslim mahu pun ke atas non-Muslim.

“Sehinggalah berlakunya hura-hara dan kezaliman yang melata selepas Kerajaan Islam lemah dan runtuh seperti mana yang sedang kita hadapi hari ini. Justeru, Pemuda mengambil inisiatif menjadi tonggak kepada penyatuan ini.

“Tidak ada sebarang kecacatan dan kekurangan pun jika kita bersatu-padu. Agama menyeru, Allah merahmati, negara diselamatkan dengan perpaduan. Jadi apa lagi pilihan kita melainkan pemuda wajib menjunjung tinggi agenda ini.

“Pemuda perlu tampil sebagai penggerak utama dan mengetepikan segala cabaran yang berpotensi menjadi penghalang merealisasikan perpaduan ini,” ujarnya pada majlis di Hotel Bayou Lagoon, di sini

Menitip ayat 103, surah Ali-Imran, beliau turut menyatakan bahawa perpaduan merupakan suatu nikmat yang wajib disyukuri, di mana keamanan, kemajuan dan kestabilan hanya akan wujud dengan adanya perpaduan.

Bagi mencapai maksud itu, beliau mengingatkan betapa Islam mengajar supaya melenyapkan permusuhan dan saling bermaafan terhadap segala kekhilafan yang berlaku antara sesama manusia sebagaimana rahmah ditunjukkan Baginda S.A.W semasa Fathu Makkah.

“Kemaafan inilah menjadi titik tolak kepada perpaduan masyarakat yang seterusnya mengukuhkan kerajaan Rasulullah S.A.W ketika itu. Saya sedar bahawa kemaafan bukanlah semudah kata-kata meluncur di lidah.

“Namun, lihatlah pilihan yang ada di hadapan kita, bersatu-padu atau terus terhina di bumi sendiri. Penyatuan dan perdamaian yang cuba kita garap kali ini mestilah kita mulai dengan penuh keikhlasan.

“Ikhlas adalah perkara yang sangat tersembunyi. Ia ada di dalam hati-hati manusia. Namun, ia biasanya dapat dilihat dengan tindak tanduk dan perlakuan kita. Kita juga mesti berwaspada kerana Allah S.W.T yang Maha Mengetahui pasti akan menzahirkan niat sebenar kita kelak.

“Justeru, marilah sama-sama kita meluruskan niat agar kesatuan ini disemai dengan benih keikhlasan yang pastinya mengundang rahmat Allah S.W.T,” nasihatnya.

Beliau turut mengingatkan betapa pentingnya perpaduan itu kerana menyedari bahawa Kerajaan Perikatan Nasional yang wujud pada hari ini adalah hasil kerjasama daripada semua pihak, tetapi memiliki majoriti yang terlalu kecil di Parlimen.

Katanya, mana-mana pihak yang menarik diri, maka akan gugurlah kerajaan ini dan musuh akan kembali berkuasa di mana mimpi ngeri 22 bulan pasti akan ada sambungannya, sekali gus menuntut kerjasama erat dengan berkongsi kekuatan dan saling menampung kelemahan.

“Kita saling memerlukan, satu agama satu bangsa kerana kita memiliki impian yang sama iaitu Islam, keamanan dan kestabilan negara,” katanya meneguhkan maksud perpaduan itu.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Malaysia, Ir Khairil Nizam Khirudin dan turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidik yang juga Penasihat Agama Ketua Menteri Melaka. – HARAKAHDAILY 18/8/2020

- Advertisement -