KASA giat realisasikan Wakaf Air

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memulakan inisiatif untuk membangunkan mekanisme pembiayaan projek bekalan air luar bandar alternatif iaitu Tabung Wakaf Air Nasional atau ringkasnya Wakaf Air.

Wakaf Air adalah berkonsepkan model pembiayaan inovatif melalui pendanaan awam  (crowd  funding) bertujuan mewujudkan akses rakyat luar bandar kepada sumber  pembiayaan bekalan air yang mudah, cepat dan mapan.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man menjawab demikian kepada pertanyaan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman) pada Sidang Dewan Rakyat di Parlimen, di sini sebentar tadi.

“KASA sedia maklum bahawa bidang kuasa berhubung bekalan air luar bandar terletak  di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).  Oleh yang demikian, pihak KPLB akan dirunding dan dilibatkan secara aktif dalam pelaksanaan Wakaf Air.

“Inisiatif ini penting bagi menyelesaikan isu liputan bekalan air luar bandar secara  holistik melalui kerjasama strategik melangkaui sempadan bidang kuasa,” ujar beliau.

- Advertisement -

Perinci Dato’ Sri Tuan Ibrahim (PAS-Kubang Kerian), Wakaf Air yang diwujudkan ini mempunyai beberapa ciri penting antaranya menerima sumbangan dalam bentuk tunai daripada individu atau syarikat dengan niat untuk wakaf air melalui akaun yang dikhaskan. 

Juga katanya, menguruskan sumbangan dana berdasarkan ruang lingkup perbelanjaan  ditetapkan, melalui kaedah yang sistematik, telus dan berintegriti serta berorientasikan keperluan pengguna dan membiayai pelaksanaan projek infrastruktur bekalan air berskala kecil yang dianggarkan tidak melebihi RM50,000. 

“Contohnya projek penggalian perigi, pembelian peralatan seperti pam, penyelenggaraan, pemasangan paip sambungan ke rumah, penyediaan tangki simpanan air dan lain lain.

“Pada masa ini KASA sedang di dalam proses untuk memuktamadkan model tadbir urus Wakaf Air dengan mengadakan kerjasama dengan Yayasan Wakaf Malaysia. Untuk tujuan tersebut rangka pelan tindakan telah dilaksanakan,” maklumnya.

Bentangnya, KASA telah pembentukan Task Force Penubuhan Tabung Wakaf Air Nasional bagi meneliti konsep dan mencadangkan struktur tadbir urus yang efektif, berkesan dan selaras dengan peraturan serta undang-undang berkuat kuasa.

Juga sedang membangunkan struktur tadbir urus dan mekanisme pelaksanaan Wakaf Air dan pelaksanaan pelan komunikasi bagi mempromosi Wakaf Air di mana KASA menjangkakan Wakaf Air akan dapat beroperasi selewat-lewatnya pada hujung tahun ini setelah model penubuhan dimuktamadkan dan proses penubuhan disempurnakan.

“Dengan adanya Wakaf Air, kebergantungan kepada pembiayaan Kerajaan dapat dikurangkan sekali gus meningkatkan penglibatan awam dalam menjayakan agenda negara.

“Melalui kaedah ini, langkah-langkah mitigasi kewangan yang sesuai dan cepat dapat diambil bagi mengatasi isu kekangan peruntukan bagi membiayai penyelenggaraan, penyediaan infrastruktur air luar bandar,” katanya. – HARAKAHDAILY 18/8/2020

- Advertisement -