DUN Ketari persiapsiagakan Jentera PRU15

- Advertisement -

BENTONG: Jabatan Pilihan Raya DUN (JPrD) Ketari telah mengadakan Bengkel Pemantapan Jentera Pilihan Raya sebagai persiapan menghadapi PRU15 yang telah diadakan di Dewan Masjid Al-Abrar, di sini pagi kelmarin.

- Advertisement -

Bengkel ini bertujuan membentuk kesatuan pemikiran dan tindakan dalam kalangan ahli-ahli PAS, selain membina paradigma dan perubahan cara gerak kerja bahawa PAS kini adalah kerajaan dan bukan lagi pembangkang.

Timbalan Yang DiPertua PAS Kawasan Bentong, Ustaz Roslan Md Esa dalam ucapannya menegaskan pentingnya jentera berpegang teguh kepada dasar Islam serta panduan agama ini serta dukungan kepada kepimpinan ulamak.

Menurutnya, parti yang diketuai oleh seorang ulamak yakni Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah menyerlahkan PAS sebagai parti penyelamat dan penstabil kepada keadaan kelam kabut dalam politik tanah air.

Beliau juga menjelaskan betapa tidak ada parti lain di negara ini yang memiliki gerakan sekata dan menyeluruh dalam semua perkara melibatkan siyasah, dakwah dan tarbiyah melainkan PAS di mana ianya medan meraih keredhaan Allah.

Manakala pelatih jemputan, Nor Zarina Mohd Azhar dari Penerangan Muslimat PAS Pusat menyuntik semangat peserta untuk teguh berdiri atas kebenaran sebagaimana disabda Nabi bahawa mereka itu tidak gentar ditentang dan diugut untuk berjuang.

Para peserta terdiri daripada ahli-ahli PAS dalam DUN Ketari yang komited untuk dijadikan jentera pilihan raya di mana telah mengikuti slot merangkumi penerangan berkaitan dasar dan gerak kerja baharu menerusi Muafakat Nasional.

Para peserta juga dipersiapkan dengan peranan untuk memacu dan mengisi kemenangan yakni kesediaan untuk mentadbir pemerintahan negeri meliputi segala aspek tadbir urus berkaitan. – HARAKAHDAILY 18/8/2020

- Advertisement -