Dijajah bila tiada Islam syumul dalam diri

- Advertisement -

TAMBUN: Kemerdekaan hakiki bukan sahaja apabila setiap individu bebas daripada penjajahan, malah kemerdekaan yang sebenarnya ialah apabila seluruh kehidupan termasuk pemikiran dan budaya bebas daripada ancaman musuh.

Demikian keterangan dinyatakan Yang DiPertua PAS Kawasan Tambun, Ustaz Md Salleh Said ketika menyampaikan tazkirah santapan rohani di perkarangan Hanaz Cafe, Bandar Meru Raya, di sini kelmarin.

- Advertisement -

“Kita semua tahu, mustahil penjajah ini (mereka) akan tinggalkan kita begitu sahaja. Mesti ada sesuatu yang ditinggalkan untuk kita warisi sebelum dia tinggalkan kita setelah sekian lama dia berusaha menjajah, (khususnya) negara-negara Islam,” jelas Ustaz Salleh.

Berdasarkan Hadis Nabi jelasnya, peristiwa hijrah bukan sekadar melalui penghijrahan dari Makkah ke Madinah, akan tetapi perlu difahami ialah niat di mana ia berkait rapat dengan hati yang merupakan generator penentu peribadi dan jasad setiap individu.

“Hati ni bersifat bolak balik. Sentiasa hati kita ini berbolak balik. Ini yang disebut oleh Rasulullah S.A.W. Yang perlu kepada kita ialah hati yang bersih dan baik. Kita bukan orang baik, tetapi kita perlu berusaha menjadi baik.

“Inilah hijrah yang sebenar, selepas Fathu Makkah. Berusaha daripada baik (seterusnya) menjadi lebih baik. Sehinggalah di hari kita bertemu dengan Allah, (di mana) pada hari itu tiada guna harta benda, anak pinak. Kita akan bertemu hari tersebut,” kongsinya.

Tegasnya seluruh umat Islam mestilah membebaskan diri daripada unsur-unsur yang ditinggalkan oleh penjajah seperti pemikiran, budaya di mana seharusnya mesti diserapkan dengan pemikiran dan budaya hidup sebagai seorang Islam.

Ustaz Salleh turut berpesan kepada seluruh hadirin, bahawa penjajah pastinya memiliki strategi yang bijak untuk menggugat Islam iaitu membataskan pemikiran umat Islam bahawa agama ini hanya pada ibadah-ibadah khususiyah sahaja.

“Penjajah (ni) bijak. Dia tak cabut keseluruhan Islam daripada diri kita. Dia cabut sebahagian. Ini yang menyebabkan umat Islam hari ini merasakan apa yang mereka lakukan itulah tepat. Pada neraca pembandingan mereka (Islam) hanyalah pada solat, zakat, haji, sedangkan keseluruhan aspek kehidupan kita adalah ibadah,” terang Ustaz Salleh.

Jelasnya lanjut, Islam merupakan agama atau sistem hidup yang syumul merangkumi seluruh aspek kehidupan manusia bermula dari soal dosa pahala, daripada sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar perkara.

Sebelum mengakhiri ucapannya di dalam sesi santapan rohani itu, Ustaz Salleh turut menekankan kepada seluruh hadirin agar menjadi umat Islam yang cemerlang di samping mengamalkannya di dalam kehidupan seperti mana telah disyariatkan oleh Allah S.W.T.

Turut hadir di dalam program itu, Ketua Ulamak PAS Tambun, Ustaz Rusdi Saad dan Ketua Penerangan PAS Tambun, Ustaz Rosli Azizan serta Ketua PAS Zon Meru, Ustaz Zabidi Zainal Abidin. – HARAKAHDAILY 18/8/2020

- Advertisement -