Didakwa khianat bakar kitab di masjid

- Advertisement -

MELAKA: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan membakar senaskhah kitab di Masjid Tengkera, minggu lepas.

Tertuduh, Mohamad Azahar Ramlan Ragawan, 35, yang bekerja sendiri, didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat mengakibatkan kebinasaan dan kerosakan pada kitab dan permaidani masjid tersebut di Jalan Tengkera di sini, pada 4:08 petang, 11 Ogos lepas.

- Advertisement -

Dia dituduh mengikut Seksyen 435/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim Norma Ismail membenarkan lelaki itu diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 18 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Lyiana Zainal Abidin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – BERNAMA

- Advertisement -