Anakonda berjaya dibiak di Melaka

- Advertisement -

MELAKA: Taman Rama-rama dan Reptilia Melaka (MBRS) di sini berjaya membiakkan ular anakonda selepas seekor anakonda hijau atau nama saintifiknya Eunectes Murinus bernama Jasmine ‘melahirkan’ lima ekor anak menerusi program pembiakan reptilia di taman itu.

Pengarah Urusan MBRS Gerard Wong berkata anak ular dengan panjang purata 13 inci dan berat sekitar 270 gram tersebut akan dipamerkan kepada umum pada sambutan Hari Kebangsaan, 31 Ogos ini.

- Advertisement -

“Ini adalah kelahiran pertama anakonda di pusat perlindungan ini,” katanya kepada Bernama semalam.

Katanya kelahiran anakonda tersebut disedari pada 12 Ogos lepas setelah penjaga haiwan menemui 14 ekor anak anakonda hijau di kawasan berair di dalam tangki pameran, namun sembilan dilahirkan mati. 

“Menerusi kelahiran anakonda tersebut diharapkan kelangsungan populasi reptilia pemangsa ini akan terus dapat dipelihara dalam menjaga keseimbangan ekosistem selain untuk diwarisi generasi akan datang,” katanya.
 
Anakonda hijau merupakan ular separa akuatik berasal dari kawasan tropika lembap di Amerika Selatan dan dikatakan ular yang terbesar di dunia yang mana betina matang mencecah panjang 32 kaki dan berat 200 kilogram, manakala ukuran jantan adalah lebih kecil daripada itu.  

Wong berkata Jasmine yang berukuran 16 kaki telah diimport dari Amerika Selatan dan dibawa masuk ke pusat perlindungan itu pada Mei 2015 selepas mendapat kebenaran daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Menurutnya Jasmine kemudian disatukan dengan seekor anakonda hijau jantan bernama Ali, berukuran enam kaki panjang di dalam kurungan pada 3 Julai tahun lepas dan pasangan tersebut sentiasa dilihat berdua walaupun tiada sebarang persenyawaan direkodkan.

“Ahli zoologi di sanktuari ini mengagak berkemungkinan Jasmine sedang menyimpan telur di dalam badan memandangkan ia enggan makan sejak November 2019, namun berat badan kekal sama iaitu kira-kira 80 kilogram.

“Kebiasannya, anakonda tidak akan makan sepanjang tempoh inkubasi telur di dalam badan, iaitu sekitar tujuh bulan kerana haiwan ini merupakan ovoviviparus iaitu menyimpan telur di dalam badan sehingga menetas dan melahirkan anak,” katanya.
 
Beliau berkata dengan kelahiran anak anakonda itu, MBRS kini mempunyai 10 ekor anakonda termasuk dua jenis anakonda kuning atau Eunectes Notaeus.

Wong berkata MBRS akan meneruskan program pembiakan anakonda itu dan bercadang membuka Anaconda Valley tidak lama lagi.

MBRS yang ditubuhkan pada 1991 beroperasi setiap hari dari 8:30 pagi hingga 5:30 petang dengan bayaran masuk RM22 (dewasa), RM16 (kanak-kanak) dan diskaun 50 peratus kepada golongan kurang upaya. – BERNAMA

- Advertisement -