Wadah politik Islam mesti satukan umat

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: Penyertaan PAS bersama gabungan parti politik Melayu-Islam merupakan usaha penting yang perlu diperkukuhkan bagi menjamin kuasa politik Islam terus memerintah di Malaysia, demikian kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi.

- Advertisement -

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor Kali Ke-54 di Dewan Grand Airiz, di sini semalam.

Tegasnya, PAS membawa agenda dakwah besar iaitu menyeru ummah kembali kepada politik Islam yang menjamin keselamatan kehidupan manusia dan keadilan tanpa mengira bangsa.

ADUN Batu Buruk itu juga mengimbau kembali pengalaman dan usaha konsisten PAS dalam memperkenalkan sistem politik Islam di Malaysia.

“PAS pernah bekerjasama dengan pelbagai pihak samada Umno dan parti serpihan seperti Semangat 46 dan lain-lain. Malahan PAS pernah bekerjasama dengan DAP dan parti-parti pembangkang yang lain.

“Namun mereka melanggar syarat-syarat tahaluf siyasi yang telah dipersetujui bersama. PAS tidak pernah melanggar syarat-syarat tersebut kerana inilah politik Islam yang PAS beristiqamah denganya,” ujarnya.

Beliau turut menjelaskan ibrah penting dari peristiwa hijrah Baginda Rasullulah S.A.W yang menyatukan ummah dengan mempersaudarakan Aus dan Khazraj serta Muhajirin dan Ansar dalam membangunkan negara.

“Di atas semangat persaudaraan inilah kita nak bawa dalam suasana politik pada hari ini, kita orang Melayu dan orang Islam mesti bersatu di atas wadah politik Islam.

“Kita perlu melihat kehadapan generasi anak cucu kita, demi negara, agama dan bangsa kita juga masyarakat majmuk yang kita dokong bersama-sama dalam negara ini dalam kontrak sosial yang telah dimeterai.

“Dalam Sejarah PAS, kita melalui sejarah yang panjang, berdakwah, menyeru rakyat Malaysia kepada politik Islam. Kita mempunyai pengalaman-pengalaman dalam melaksanakan politik Islam secara amali dan praktikal,” ujarnya.

Tegasnya, politik Islam untuk menyatukan ummat Islam telah menjadi perjuangan PAS sejak ditubuhkan hingga ke hari ini di mana ia diamal berteraskan dengan keimanan kepada Allah, hari akhirat dan ketakwaan ke arah memastikan Islam berdaulat.

Juga katanya, PAS mahu hukum hakam Allah ditegakkan di mana ummatnya saling bersatu serta keadilan diberikan kepada seluruh masyarakat.

“Dunia kini meperlihatkan kegagalan setiap ideologi dan fahaman ciptaan manusia yang ada dari segala bidang samada ekonomi, sosial dan perundangan. Kini dunia melihat Islam menjadi penyelesaian utama  dan minhajul hayah dalam menguruskan kehidupan manusia kepada pemasalahan yang ada.

“Justeru sebagai ahli gerakan Islam, Pemuda-pemuda perlu mengemblengkan tenaga, kesungguhan, pengorbanan dan jihad  untuk terus beristiqamah dengan Islam dan perjuangan PAS agar memastikan negeri Selangor dan negara kita bernaung di bawah Islam yang adil dan sejahtera,” ujarnya.

Muktamar ini dihadiri hampir 200 perwakilan dan pemerhati dalam pergerakan yang dihadkan penyertaan kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan fizikal ditetapkan. – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -