Pujian bukan ukuran mulia dan kuat

- Advertisement -

SEPANJANG perjalanan ini sudah saya saksikan banyak hal. Sehingga kadang-kadang hati merasa sangat gerun dengan gelombang takdir Allah. Gelombang yang sering bergulung-gulung dan berbolak balik. Sesuai dengan firman Allah:

- Advertisement -

وَٱلَّذِینَ كَذَّبُوا۟ بِـَٔایَـٰتِنَا سَنَسۡتَدۡرِجُهُم مِّنۡ حَیۡثُ لَا یَعۡلَمُونَ

“Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), menurut cara yang mereka tidak mengetahuinya.”

(al-A’raf: 182)

Dulu ada seorang pimpinan tinggi parti. Ceramahnya hebat dan pidatonya menarik hadirin datang berpusu-pusu. Awal 80-an saya kerap juga menghadiri ceramah beliau. Sambutan ceramah beliau mengatasi kuliah dan ceramah tokoh-tokoh lain di Kelantan, hatta Almarhum Tuan Guru Nik Aziz (ATGNA) sekalipun. 

Pernah satu ketika beliau dijemput hadir ceramah di Peringat, berhampiran Pasir Tumboh. Malam itu hadirin cukup ramai. Sehingga kawasan tanah lapang yang dipenuhi lalang di sebelah rumah penganjur dimasuki hadirin. Berasak-asak di kawasan lalang itu. Malam itu gegeran pidato beliau memukau hadirin. 

Seusai ceramah, petugas program menemui dua ekor biawak mati dalam kawasan lalang tersebut kerana tanpa disedari hadirin telah terpijak haiwan itu. Namun akhirnya tokoh itu lari PAS dan namanya tidak harum lagi. Manakala TGNA yang sebelum itu hanya dilihat sebagai pak lebai Pondok semakin menjadi sebutan, dihormati dan muncul sebagai tokoh pemimpin yang hebat. Kesederhanaan dan keterikatan beliau dengan amalan Islam telah mengangkat beliau sebagai imam ummah hingga ke akhir hayatnya. Dari situ saya belajar adalah sangat berbeza orang yang dimuliakan makhluk dengan orang yang dimuliakan Allah. 

Begitu juga dengan seorang tokoh Pemuda di era awal 90-an. Nama beliau menjadi sebutan kawan dan lawan. Bahkan akhbar watan ketika itu pernah menobatkan beliau sebagai ayam sabung PAS. Dikatakan kadang-kadang yang hadir ke ceramah beliau lebih ramai dari yang hadir ke ceramah Tuan Guru Haji Hadi (TGHH). Beliau berjaya membidas musuh-musuh politik PAS dengan hujah yang panas dan berapi-api. Nama beliau menjulang gah dan menjadi rebutan PAS negeri-negeri untuk menganjurkan ceramah.

Namun akhirnya beliau kecundang dengan meninggalkan PAS. Namanya padam dari bibir ummah lebih-lebih lagi ahli-ahli PAS. Kenyataan-kenyataan politiknya dilihat semakin bercelaru dan menyimpang dari agama. Beliau jatuh terkulai di bawah pengaruh DAP. Saat yang sama TGHH terus mengorak langkah penuh sederhana memimpin PAS mentaati prinsip politik Islam, ilmu dan akhlaknya. Sehingga nama beliau menjadi sebutan dan harum di mana-mana.

Sekali lagi saya belajar mengenal hakikat kemuliaan yang sebenar. Sesuai dengan Firman Allah:

 وَلِلَّهِ ٱلۡعِزَّةُ وَلِرَسُولِهِۦ وَلِلۡمُؤۡمِنِینَ وَلَـٰكِنَّ ٱلۡمُنَـٰفِقِینَ لَا یَعۡلَمُونَ

“Padahal bagi Allah jualah kemuliaan dan kekuatan itu dan bagi RasulNya serta bagi orang-orang yang beriman; akan tetapi golongan yang munafik itu tidak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(al-Munafiqun: 8)

Teman-teman, kita kuat dan mulia bukan kerana diri kita kuat dan ramai yang memuji kita. Tapi kita akan kuat dan mulia dengan kemuliaan dari Allah. Maka saat kita memiliki sedikit kejayaan dan kemenangan jangan sekali-kali lupa bahawa takdir Allah boleh berubah bila-bila masa. Lalu jangan alpa, jangan lalai, jangan sombong dan jangan lupa dari mana kita datang.

Ada seorang ahli ibadah itu merasa asyik dengan ibadahnya. Ia merasakan Allah telah mengurniakan kepadanya banyak karomah dalam kerohanian kerana tekun ibadahnya kepada Allah. Tapi satu malam ia bermimpi diberitahu oleh gurunya bahawa segala kurniaan Allah kepadanya itu adalah kerana doa ibunya yang saban malam berdoa untuknya. Kesimpulannya jangan kita lupa diri dengan segala nikmat yang Allah berikan. 

USTAZ MOKHTAR SENIK
Ahli Jawatankuasa Kerja
PAS Pusat – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -