Penyertaan BERSATU kukuhkan bahtera MN

- Advertisement -

SAYA mengalu-alukan keputusan PPBM untuk bersama di dalam Muafakat Nasional (MN) seperti yang diumumkan dalam Perutusan YAB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Mohd Yassin, Pemangku Pengerusi dan Presiden PPBM semalam. 

Keputusan ini sudah tentu disambut baik oleh semua pihak khususnya Dewan Pemuda PAS Malaysia sebagai usaha ke arah mengukuhkan lagi kestabilan politik tanah air demi keharmonian serta kemakmuran rakyat tanpa mengira kaum dan agama. 

Hasrat ini sesuai dengan penegasan Tuan Guru Presiden PAS bahawa PAS, Umno dan BERSATU tidak boleh dipisahkan bagi menyatukan Melayu Islam sebagai kelompok majoriti dalam komposisi masyarakat di Malaysia.

- Advertisement -

Pun begitu, penyatuan tiga parti Melayu terbesar ini bukanlah suatu bentuk pertembungan Melayu vs bukan-Melayu. Justeru itu, bukan-Bumiputera tidak perlu bimbang dengan penyatuan ini, bahkan sehingga kini Perikatan Nasional (PN) memerintah terbukti sentimen tersebut hanyalah ‘fearmongering’ yang cuba dibawa oleh pembangkang. 

Apa yang penting, Islam mestilah menjadi teras perjuangan yang memayungi kerjasama ini agar keadilan Islam dapat dirasai oleh semua pihak tanpa terkecuali. 

Saya juga menyambut baik ingatan Tan Sri bahawa kedudukan, pangkat dan kuasa hanyalah sementara yang tidak patut dibanggakan, bahkan digunakan sebaiknya demi kebaikan rakyat. 

Justeru, para pemimpin di dalam MN dan PN mestilah menjaga reputasi bahtera ini tanpa diselaputi isu penyalahgunaan kuasa serta masalah integriti. 

Bergerak ke hadapan, saya menyeru pengukuhan di peringkat akar umbi diperkasakan dengan semua pihak mestilah berlapang dada serta menginsafi apa yang berlaku dalam PRU-14 yang lalu melihatkan betapa perpecahan parti-parti berteraskan Melayu-Islam ini merugikan kita dan memberi pengajaran pahit kepada semua.

IR KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -