Menyingkap sindrom fobia politik rakyat Sabah

- Advertisement -

“DIK kami ni bukan orang masjid, boleh kah kami jadi ahli PAS?”. “Dik kami ni sini nda seberapa ‘tetutup’ pakaian ini, boleh jugak jadi ahli PAS?”. “Dik kami nampak sumbangan PAS di sini, minat kami ikut tapi belum cukup lagi lima waktu kami ini dik.”

- Advertisement -

Ini antara beberapa luahan hati penduduk Batu Sapi yang didengari. Mungkin ini juga persepsi yang ada dalam masyarakat lain di Sabah. Positifnya, jelas imej PAS sebagai pendakwah Islam itu diakui orang ramai. Cuma mengapa masih ada kekeliruan tentang wujud politiknya?

Menerusi penelitian dan bual bicara dengan orang ramai di Batu Sapi. Saya ingin mengulas isu imej politik ini, sebagai ruang muhasabah gerak kerja politik PAS di Sabah. Bahkan inilah masanya cetusan fikir ini ditekuni untuk pembaikan. Sekali gus menjernihkan salah faham awam.

Pertama bahasa politik yang realistik. Ini berdasarkan pengalaman turun naik rumah, ngopi dan berprogram dengan masyarakat. Orang kampung biasanya lebih suka bercerita isu di kampungnya, tekanan hidup keluarga dan konflik kepentingan peribadi dalam hidup berpartisan.

Apa yang mungkin terlepas pandang. Sebagai parti politik, kita lebih cenderung menerangkan kehebatan yang ada pada parti. Sampai kadang terlupa menghuraikan isu fundamental rakyat tempatan. Lain padang lain belalang, lain kampung lain pula isunya.

Ini sangatlah penting disentuh dalam perjumpaan bersama para al malak (pemimpin) kampung dan orangnya. Rajinlah turun padang dan buat sedikit kajian. Insya-Allah bahasa politik kita akan lebih mengakar umbi dan dekat di hati.

Kedua kepentingan menyampaikan dasar dan matlamat politik PAS. PAS perlu difahami sebagai harakah dakwah, tarbiah dan siasah. Mendekati rakyat yang hanya menilai zahir PAS sebagai parti politik. Maka wajarlah kita menggunakan bahasa politik untuk menaikkan imej politik Islam.

Namun perlu disedari secara bidalannya dalam menyulam kisah al marhum TG Nik Aziz dan kisah Umar bin Abdul Aziz. Selitlah juga penerangan dasar dan matlamat PAS dalam pentas politik tempatan. Realiti demokrasi berparlimen perlukan kerusi untuk memposisi. Untuk memposisi kita perlu menang kerusi DUN atau Parlimen. Untuk menang kerusi kita perlu sokongan.

Sokongan bukan hanya pada lisan, tetapi dalam bentuk isi borang keahlian, tubuhkan cawangan dan daftar pengundi. Matlamat politik PAS tidak akan terzahirkan andai laluan politik demokrasi ini tidak terlunaskan. Fakta dan angka mengiringi politik dakwah.

Ketiga keazaman politik dan tindakan. Sering kali kita mendengar janji bulan dan bintang partisan. Sering kali juga kita mendengar pembohongan politikus. Akhirnya wujud sindrom fobia politik dalam masyarakat. Siapa pun bertanding dilihat sama, hanya menanam tebu di siring bibir. Tapi apakah politik Islam perlu pasrah dengan realiti ini?

Sejujurnya saya sendiri selalu merenungkan malapetaka rakyat ini. Seolah-olah melihat ke langit mendung, melihat ke bumi gersang. Memikir solusi politik menggunakan perspektif rakyat adalah jalan terbaik. Sebagai sebuah gerakan politikal. Turutilah jiwa rakyat yang mahukan suatu kesungguhan dan tindakan sebagai tawaran.

Mana pun parti yang ada, turun padang ke rakyat usahlah bermusim. Koreksi masalah yang ada, bukan mengkoleksi masalah yang ada. Koreksi setiap permasalahan dengan tindakan mengikut kemampuan. Jika sekadar koleksi masalah, itu sudah jadi kebiasaan politikus. Akhirnya PRN PRU silih berganti, masalah yang sama berulang lagi.

Sekadar coretan untuk hari minggu ini yang santai. Alhamdulillah saya bahagia menulis coretan ini dengan hati yang terbuka mendengar kritik orang kampung, pak cik mak cik, kakak abang dan sahabat yang dulu sebelumnya tidak mengenali PAS kini bersama dengan perjuangan ini.

Hasil penulisan ini juga adalah sumbang saran mereka. Kerana mereka merasakan inilah perkara yang mereka pernah rasakan ketika berada di parti berbeza dan sebagai orang awam, sebelum terjebak dengan agenda politik dakwah PAS.

Apa pula pandangan anda mengenai PAS Sabah? Tuliskan komen seikhlas hati anda. Apapun yang dikatakan pahit, manis, geram atau sebagainya diterima dengan lapang dada. Semoga sejahteralah rakyat Sabah.

KY
Aktivis PAS Sabah
Sarjana Ekonomi Politik Islam, USM – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -