Latih agensi libat diri dengan industri wakaf

SAYA mengucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di atas inisiatif untuk memperkenalkan Wakaf Infrakstruktur Air demi menyelesaikan masalah bekalan air bersih terutamanya yang dihadapi oleh rakyat di kawasan pedalaman. 

Jika sebelum ini, rakyat Malaysia banyak menyumbang melalui wakaf pembinaan telaga di negara-negara yang memerlukan, saya percaya sistem wakaf ini akan membuka ruang seluas-luasnya kepada masyarakat yang berkemampuan untuk berkongsi tanggungjawab menyediakan keperluan asas dan kemudahan awam di dalam negara sendiri.  

Saya juga melihat penubuhan Wakaf Infrastruktur Air ini berupaya menjadi pemangkin kepada pembangunan sistem wakaf yang lebih meluas khususnya dalam projek-projek yang melibatkan pembiayaan mikro di bawah beberapa kementerian strategik seperti pertanian, keusahawanan, kesihatan, pendidikan dan pengangkutan, di mana rakyat boleh mendapat manfaat secara terus.

Advertisement

Oleh itu, saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar memanfaatkan Yayasan Wakaf Malaysia untuk melatih kepakaran dan membentuk kesedaran di kalangan agensi-agensi dalam kementerian untuk terlibat secara aktif dalam industri wakaf di Malaysia.

Sekian, terima kasih. 

“Islam Memimpin Perpaduan”

YB WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 17/8/2020