Bukti kerajaan Muhyiddin punyai sokongan majoriti

Cubaan pembangkang tolak RUU Perbekalan gagal dan memperlihatkan sebaliknya

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Percubaan Ahli-ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH) untuk menolak RUU Perbekalan di Dewan Rakyat hari ini bukan sahaja gagal, sebaliknya membuktikan pula bahawa pihak kerajaan memiliki sokongan majoriti.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari berkata, tindakan PH hari ini juga sebenarnya cubaan untuk menunjukkan kepada rakyat kononnya kerajaan tidak mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen.

“Namun sayangnya, percubaan itu gagal dan sekali lagi ianya memberikan satu signal kepada rakyat bahawa kerajaan hari ini yang dibina dengan sokongan majoriti Ahli Parlimen. Tidak sepatut lagi timbul dakwaan bahawa kerajaan hari ini ditubuhkan dengan sokongan minoriti.

“Saya menasihatkan Pakatan Harapan, supaya berhentilah membuat percubaan seperti ini kerana ia tidak akan berjaya di masa-masa akan datang kerana jelas majoriti Ahli-ahli Parlimen bersama kerajaan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Tumpukan kepada usaha untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat yang diwakili. Tidak perlu berpolitik di Dewan Rakyat, sebaliknya berikan sokongan kepada kerajaan menggerakkan agenda rakyat,” serunya.

Pada perbahasan dan cubaan pembangkang menolak RUU tersebut, undian belah bagi berpihak kepada kelulusan dengan 111 undi berbanding 106 oleh pakatan pembangkang. – HARAKAHDAILY 17/8/2020

- Advertisement -