Aktiviti kawasan positif COVID-19 dihadkan – MB

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah mengambil beberapa inisiatif segera bagi mengekang penularan COVID-19, antaranya dengan menutup semua taman awam dan mengehadkan operasi premis perniagaan di kawasan yang merekodkan kes positif wabak itu.

Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Noor berkata kawasan berisiko termasuklah Mukim Tawar di Baling yang membabitkan Kluster Tawar, beberapa lokasi di Yan (Kluster Sala) dan daerah Kuala Muda (Kluster Muda).

Beliau berkata premis perniagaan seperti kedai runcit, kedai 24 jam dan kedai serbaneka di stesen minyak di kawasan terbabit hanya dibenarkan beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam sahaja, manakala pasar malam di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga dihadkan iaitu dari pukul 4 petang hingga 8 malam.

- Advertisement -

“Jualan hanya dibenarkan bagi makanan yang dibungkus dan penghantaran sahaja, makan di kedai tidak dibenarkan dan majlis sosial ditangguhkan termasuk program agensi dan jabatan kerajaan, manakala kenduri juga perlu ditangguh atau dibatalkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Muhammad Sanusi berkata keputusan berkenaan dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri yang dipengerusikan beliau di Wisma Darul Aman, malam tadi.
 
Selain itu, Muhammad Sanusi berkata semua masjid dan institusi keagamaan di kawasan yang didapati terdapat kes positif COVID-19 juga sudah diarahkan tutup serta-merta untuk proses sanitasi dan pengawasan sehingga kes selesai.

Beliau berkata semua ketetapan itu berkuat kuasa hari ini dan satu Arahan Pematuhan berkenaan perkara itu akan diedarkan segera kepada semua PBT.

Mengenai kebimbangan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah pula, beliau berkata setakat ini difahamkan bahawa situasi di sekolah adalah terkawal dan kerajaan negeri tidak mempunyai kuasa untuk menutup sekolah.

“Jabatan Pendidikan kata (sekolah) setakat ini masih selamat dihadiri pelajar sebab ada prosedur operasi standard (SOP) berkesan untuk kawal (penularan wabak) dan bagi keluarga yang terlibat (ada kontak rapat COVID-19), mereka dikuarantin di rumah atau di hospital dan tidak berada di sekolah,” katanya.

“Kuasa (tutup sekolah) terletak pada Kementerian Pendidikan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan perkara ini akan diputuskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkat pusat dan pengumuman akan dibuat oleh menteri kanan… kerajaan negeri hanya umumkan perkara di bawah bidang kuasa PBT dan majlis agama negeri sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata semua acara sambutan menjelang Hari Kebangsaan di Kedah dibatalkan dan tempat-tempat awam yang sering menjadi tumpuan pada hari cuti umum seperti Pantai Merdeka dan Pulau Sayak akan ditutup. – BERNAMA

- Advertisement -