UAE khianat umat Islam, Palestin

- Advertisement -

PERJUANGAN untuk membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa daripada penjajahan dan kekejaman regim Israel tetap menjadi matlamat utama umat Islam dekad ini. Sejak negara haram Israel ditubuhkan pada 1948, umat dan dunia Islam tidak pernah putus asa berjuang untuk rakyat Palestin bagi menuntut hak dan tanah air mereka.

- Advertisement -

PAS mengecam sekeras–kerasnya perjanjian damai atau normalisasi hubungan dua hala antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan regim Israel. Ia adalah satu bentuk pengkhianatan kepada umat dan dunia Islam khususnya buat rakyat Palestin yang sehingga hari ini diri, keluarga dan tanah air mereka dijajah, dirampas dan hak mereka dinafikan oleh regim Israel.

Bagaimanakah UAE yang dipimpin oleh seorang pemimpin Islam dan majoriti penduduknya beragama Islam sanggup menghulurkan tangan dan berjabat mesra dengan tangan pemimpin regim Israel dan Zionist yang penuh dengan darah dan air mata rakyat Palestin yang sejak sekian lama dizalimi, ditindas dan dinafikan hak mereka?

Dengan mengadakan normalisasi hubungan mahupun perjanjian damai dengan regim Israel, UAE sebenarnya sudah bersetuju dan memberikan pengiktirafan terhadap pelan damai tajaan Amerika Syarikat untuk Asia Barat iaitu ‘Deal Of The Century’ yang sebenarnya langsung tidak memberikan apa–apa kelebihan kepada umat Islam di Asia Barat dan rakyat Palestin khususnya.

Malah langkah yang dilakukan oleh UAE adalah sangat tidak bertanggungjawab dan langsung tidak relevan dengan keadaan semasa di Palestin yang sangat memerlukan pembelaan dunia dan sokongan umat dan dunia Islam saat ini.

Ia juga sebenarnya mendedahkan kepada dunia bahawa sikap Amerika Syarikat khususnya Donald Trump yang sebenarnya langsung tidak memperdulikan Palestin malah menjadi dalang mahupun broker kepada perjanjian khianat ini yang lebih memihak kepada regim Israel.

PAS tetap berpendirian bahawa bumi Palestin sewajarnya dipulangkan kembali kepada rakyat Palestin tanpa sebarang syarat dan ditubuhkan sebuah negara Palestin yang merdeka dengan Baitul Maqdis sebagai ibu negara Palestin. Sebarang usaha yang berlawanan dengan usaha ini adalah dianggap pengkhianatan kepada umat dan dunia Islam khususnya kepada rakyat Palestin.

Marilah sama-sama kita mendoakan agar bumi dan rakyat Palestin dipelihara dan dilindungi oleh Allah SWT. Sewajarnya seluruh umat dan Dunia Islam bangkit menentang pengkhianatan yang dilakukan UAE terhadap bumi dan rakyat Palestin.

USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 16/8/2020

- Advertisement -