Takziah pemergian Dr Abdul Rahman Arshad

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr Abdul Rahman Arshad yang menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 10:45 pagi tadi.

- Advertisement -

Meninggal dunia di kediamannya di Taman Ampang Utama, jenazah telah dimandi, dikafan dan disolatkan di Masjid Jamiul-Huda, Jalan Pinang, Kampung Melayu, Ampang dan dibawa pulang ke Kampung Air Limau, Masjid Tanah, Melaka untuk disemadikan.

Tokoh pendidikan negara yang turut pernah dilantik berkhidmat sebagai diplomat ke Maghribi, Manila dan Thailand ini telah meninggalkan seorang balu, Puan Sri Noor Hayati Mohamed.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan pemergian Almarhum sebagai satu kehilangan buat negara khususnya warga pendidikan yang menjadi medan Dr Abdul Rahman menaburkan jasa.

Bekas Perunding Pendidikan Bank Dunia ini dilahirkan di Masjid Tanah, Melaka dan memulakan pendidikannya di sekolah Melayu asli di Masjid Tanah sebelum memasuki kelas Bahasa Melayu Khas di Sekolah Tinggi Melaka.

Setelah menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Almarhum melanjutkan pelajarannya di University of Singapore, University of Reading, New Zealand Staff Staff College, Harvard Business School dan akhirnya di University of East London untuk Ijazah Doktor Falsafah.

Selama lebih 3 dekad beliau dalam Perkhidmatan Pendidikan Malaysia bermula sebagai guru di Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum beralih menjadi Timbalan Pengarah Pendidikan di Pulau Pinang dan Kedah.

Almarhum juga pernah berkhidmat sebagai Pengarah Pelajaran Negeri Kelantan sebelum naik pangkat sebagai Pengarah Peperiksaan Kementerian Pendidikan, diikuti Pengarah Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan.

Pernah juga menjawat selaku Timbalan Ketua Pengarah I dan akhirnya Ketua Pengarah Pendidikan sebelum bersara pada akhir November 1991, selain aktif dalam organisasi antarabangsa setelah dilantik dalam pelbagai jawatan.

Antaranya sebagai Wakil Pengerusi ISESCO di Rabat, Maghribi dan Pengerusi INNOTECH di Manila, serta Pengerusi kumpulan Asia dan Oceania di UNESCO Bangkok, juga menganggotai jawatankuasa Sekretariat Komanwel, London.

Dr Abdul Rahman turut dijadikan Fellow Eisenhower dan selepas bersara, dia dilantik sebagai Pengerusi Bank Industri, Pengerusi Exim Bank dan Pengerusi Malaysian Export Credit Insurance Bhd, selain mengetuai lima syarikat tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur.

Dalam bidang pendidikan lagi, pernah dilantik sebagai Pengerusi Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan sejak 2004 dia dilantik sebagai Pro-Canselor termasuk juga pernah dilantik sebagai Canselor Universiti College of Sedaya International dan Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Pada tahun 2005 beliau dianugerahkan penghargaan Kepimpinan Pendidikan dan pada tahun 2007 dia dilantik sebagai Ketua Panel Penasihat kepada Menteri Pendidikan mengenai program Sekolah Kluster.

Atas jasanya kepada negara, Almarhum pernah pernah menerima penghargaan Yang DiPertuan Agong, Sultan Pahang dan Kelantan dan Gabenor Sabah, Melaka dan Pulau Pinang.

Beliau juga telah dianugerahkan doktor kehormat oleh University of Saskatchewan, Universiti Putra Malaysia, Heriot-Watt University Scotland, University of East London, UiTM, University College Sedaya International, UM dan UPSI. – HARAKAHDAILY 16/8/2020

- Advertisement -