Penguat kuasa perlu berhemah tegur penjaja

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Badan penguat kuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menggunakan cara berhemah bagi menegur peniaga dan penjaja yang melakukan kesalahan berniaga tanpa lesen atau di kawasan tidak dibenarkan.

- Advertisement -

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, sebagai contoh, pendekatan melalui perbincangan dapat membantu menggalakkan lebih ramai peniaga dan penjaja mendapatkan lesen sekali gus menjalankan perniagaan secara sah.

“Kalau (penguat kuasa) keluar rumah, pakai uniform dan cakap ‘ya’ atau ‘tidak’ sahaja pada orang, memang boleh tetapi lebih baik jika kita guna pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan prihatin. Jika nampak mereka berniaga di tempat yang salah atau tak ada lesen, dekati mereka.

“Tanya dan berbual dengan mereka, daripada situ baru kita akan jumpa punca dan apa masalah mereka sebenarnya. Lagipun kalau kita denda atau halang begitu sahaja, sampai bila-bila pun penguat kuasa tak boleh kawal.

“ Kita larang di satu tempat, akan muncul pula di tempat lain,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan lesen kepada peniaga gerai makanan di Kawasan Perindustrian Batu Muda, di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun penguatkuasaan tegas masih berjalan agar rakyat meniaga mengikut amalan perniagaan yang betul dan halal.
 
Mengulas kejadian tindakan penguat kuasa DBKL menyita barangan penjaja tanpa lesen di Taman Tasik Titiwangsa baru-baru ini, katanya, perkara itu telah disiasat dan beliau dimaklumkan penjaja telah diberikan notis secara bertulis dan lisan terlebih dahulu.

“Saya sudah siasat dan ia bukan salah penguat kuasa. Penguat kuasa sudah berikan notis kepada mereka seminggu sebelum itu malah, sehari sebelum kejadian pun mereka sudah diberi amaran tetapi penjaja masih teruskan berniaga.

“Bagi kes ini, saya faham (peniaga) mereka ingin tumpang cari rezeki di situ dan saya sudah meminta Datuk Ibrahim Yusoff (Pengarah Eksekutif (Pembangunan Sosioekonomi) DBKL) untuk panggil 40 penjaja terbabit.

“Saya minta adakan rundingan dengan elok dan pulangkan semula barang yang dirampas bersama ‘surat cinta’ iaitu the do’s’ and the don’ts dalam aktiviti terbabit,” katanya.

Terdahulu, sebuah video tular di laman media sosial memaparkan Penguat Kuasa DBKL menyita meja milik penjaja di lokasi itu serta seorang peniaga wanita merayu agar barangan perniagaannya tidak dirampas anggota penguat kuasa. – BERNAMA

- Advertisement -