PAS alu-alukan BERSATU untuk sertai MN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS mengalu-alukan dan menyambut baik pengumuman Majlis Pimpinan Tetinggi BERSATU yang telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional.

- Advertisement -

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, penyertaan BERSATU akan memperkukuhkan asas pembinaan Muafakat Nasional iaitu penyatuan ummah.

“PAS juga yakin penyertaan BERSATU akan memberi peluang yang lebih besar untuk menempa kejayaan dalam PRU Ke-15 yang akan datang,” ujar beliau.

Muafakat Nasional maklumnya, akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan satu pengisytiharan rasmi bersempena ulang tahun pertama pembentukan Muafakat Nasional.

Tegas beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air, agenda penyatuan ummah sentiasa diutamakan dengan meletakkan Islam dan keikhlasan sebagai asas kepada penyatuan itu.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata BERSATU telah bersetuju untuk menyertai Muafakat Nasional yang mendukung Perikatan Nasional sebagai gabungan besar.

“Saya percaya inilah pilihan terbaik untuk BERSATU. Kita memilih untuk berada dalam satu jemaah besar yang menghimpunkan parti-parti utama di negara kita. 

“Dengan terbentuknya penyatuan antara BERSATU, Umno, PAS dan parti-parti lain dalam Kerajaan Perikatan Nasional, sebahagian besar sokongan rakyat telah pun berada di pihak kita,” katanya.

Muhyiddin memaklumkan, perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat ketika berucap pada perutusan bersempena persidangan Srikandi, Armada dan Bahagian BERSATU 2020, semalam.

Muhyiddin juga menegaskan, beliau sering mengadakan perbincangan dengan pucuk pimpinan Umno, PAS, MCA, MIC, Gabungan Parti Sarawak (GPS), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang membentuk Kerajaan Perikatan Nasional. 

Jelasnya, beberapa persetujuan utama telah dicapai dalam pertemuan-pertemuan itu yang antara lain akan memperkukuhkan lagi kedudukan BERSATU dan parti-parti rakan yang lain dalam Perikatan Nasional.

“Insya-Allah, penyatuan dalam jemaah besar ini akan mewujudkan kestabilan politik negara yang pastinya memberikan limpahan nikmat keamanan, keharmonian dan kemakmuran kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama,” katanya.

Kata Muhyiddin, BERSATU sejak empat tahun penubuhannya kini mempunyai lebih 420,000 ahli, 197 Bahagian dan 2,950 Cawangan berdaftar. – HARAKAHDAILY 16/8/2020

- Advertisement -