Muslimat bawa insentif PENJANA buat ibu tunggal

PETRA JAYA: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK) Dewan Muslimat PAS Negeri Sarawak dengan kerjasama LKK Dewan Muslimat PAS Kawasan Petra Jaya telah turun menyantuni para ibu tunggal yang mendiami Flat Sri Wangi, di sini pagi semalam.

Advertisement

Kit-kit sumbangan berupa barangan keperluan harian telah diserahkan keluarga ibu tunggal yang dilawati dan telah diserahkan oleh Pengerusi LKK Muslimat PAS Sarawak, Habsah Bujang diiringi Setiausaha LKK Muslimat PAS Sarawak, Nurhafiza Wahid.

Kunjungan ziarah ini turut sama disertai oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Petra Jaya, Morshidi Hassan bagi menjayakan aktiviti serahan kit sumbangan dan lawatan tersebut.

Pihak LKK juga turut mengambil kesempatan membantu menyerahkan borang Bantuan Khas Ibu Tunggal di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Menerusi inisiatif ini para ibu tunggal mendapat bantuan khas sebanyak RM300 secara one-off yang akan dikreditkan ke dalam akaun penerima berkelayakan.

Insentif ini adalah sebagaimana sebahagian daripada peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) pada Jun baru-baru ini.

“Inisiatif untuk menyerahkan borang bantuan tersebut diambil kerana rata-rata ibu tunggal yang kami santuni memaklumkan tidak mendapat maklumat berkaitan bantuan khas ibu tunggal ini.

“Malah ada juga yang maklum tentang perkara ini namun tidak mengetahui cara memohon bantuan tersebut.

“Oleh itu dengan adanya bantuan sebegini dari pihak LKK, besarlah harapan kami agar bantuan dari pihak kerajaan sampai kepada golongan sasaran ini,” ujar Nurhafiza. – HARAKAHDAILY 16/8/2020