Hubungan bilateral dengan China, India kembali ke asal

- Advertisement -

TANJUNG MALIM: Hubungan dua hala Malaysia dengan China dan India kembali seperti sedia kala di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional, kata Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

- Advertisement -

Beliau berkata ini akan membantu Malaysia meningkatkan eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit ke dua negara terbabit.

Ini tentunya akan membantu peneroka FELDA, katanya kepada pemberita selepas sesi beramah mesra dengan pemimpin masyarakat dan peneroka FELDA Trolak Selatan, di sini hari ini. 

Hadir sama calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim Mohd Zaidi Aziz.

Hishammuddin berkata beliau juga telah meminta pemain industri sawit agar mengemukakan cadangan untuk menyelesaikan ketegangan di antara Malaysia-China dan Malaysia-India bagi meningkatkan eksport.
 
Menurutnya kerajaan juga sedang melihat pasaran baharu untuk produk sawit negara, termasuk di rantau Asia Barat.

Sementara itu, Hishammuddin mengulangi bahawa Malaysia sentiasa konsisten dalam pendiriannya untuk tidak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel.

Merujuk kepada perjanjian damai di antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Israel, Hishammuddin turut menegaskan hubungan Malaysia dan UAE kekal baik.

Mengenai PRK Slim, Hishammuddin yakin Mohd Zaidi, 43, akan menerima sokongan pengundi kerana perwatakannya yang baik dan seorang yang berpengalaman. 

PRK Slim yang akan berlangsung pada 29 Ogos ini susulan kematian penyandang Datuk Mohd Khushairi Abdul Talib, 59, daripada BN pada 15 Julai lepas, akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Zaidi dan dua calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38  dan S. Sentharasekaran, 44. – BERNAMA

- Advertisement -