Temui artifak dipercayai berusia lebih 1,000 tahun

- Advertisement -

PEKAN: Sejumlah artifak sebahagiannya dipercayai berusia lebih 1,000 tahun dijumpai di kawasan aktiviti pengorekan pasir di Sungai Pahang, di sini, baru-baru ini.

- Advertisement -

Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN), Mesran Mohd Yusop berkata artifak yang ditemukan itu kebanyakannya dipercayai dari China iaitu serpihan seramik celadon  Dinasti Song, serpihan seramik porselin Dinasti Ming dan duit syiling Dinasti Tang,  Dinasti Song serta Dinasti Ming.

Katanya, turut ditemui ialah duit syiling Kesultanan Pahang dan Kesultanan Melaka.

“Penemuan ini berlaku apabila beberapa serpihan artifak ditemui di dalam penyedut pasir sebelum penyelidikan  bawah air  yang dikawal selia JWN dijalankan selama tiga hari bagi memberikan perincian jelas ke atas hasil dapatan kajian ini.

Sebilangan besar pecahan seramik kelihatan mempunyai retakan baharu, manakala sebilangan lagi kelihatan telah lama patah,” katanya dalam sidang media di sini semalam, yang turut dihadiri Ketua Projek Penyelidikan Datuk Dr Dionysius S K Sharma dan Pengarah Bahagian Arkeologi JWN Ruzairy Arbi.
 
Mesran berkata JWN akan membuat kajian lanjut mengenai pentarikhan dan  pemilik asal  artifak itu supaya ia dapat memberi gambaran baharu mengenai aktiviti perkapalan serta perdagangan di kawasan berkenaan.

“Kita berharap dengan penemuan ini kita dapat merungkai sejarah dan salasilah kebudayaan di Pahang khususnya di Pekan,” katanya.

Beliau juga berkata ketika ini JWN akan memberi fokus bagi mencari seberapa banyak artifak dengan harapan dapat menjumpai artifak yang lebih signifikan, contohnya seramik yang masih tidak pecah.

Katanya, JWN juga memohon  orang ramai agar melaporkan sebarang jumpaan bersejarah termasuk di kawasan berkenaan, selaras dengan Akta Warisan Kebangsaan 2005.

Sementara itu, Dionysius berkata sebahagian artifak terbabit ditemui selepas selaman sedalam 15 meter dilakukan di sungai berkenaan.

“Pasukan penyelam menemuinya berhampiran struktur yang saya percaya kapal diperbuat daripada kayu namun siasatan lanjut masih perlu dilakukan,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -