Malaysia kutuk pemerdagangan organ

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengutuk sekeras-kerasnya kegiatan pemerdagangan organ manusia atau perolehan organ bagi tujuan pemindahan melalui transaksi perniagaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Malaysia komited melindungi kesihatan dan keselamatan setiap penderma serta penerima organ dan ini dicerminkan menerusi penggubalan Akta Tisu Manusia 1974 yang mengawal pemindahan organ bagi tujuan terapeutik.

“Selain itu, Malaysia juga menandatangani Deklarasi Istanbul mengenai Pemerdagangan Organ dan Pelancongan Transplan. Deklarasi ini menyatakan organ untuk pemindahan harus diperuntuk kepada penerima yang sesuai tanpa mengira gender, etnik, agama dan status sosial atau kewangannya,” kata beliau dalam kenyataan hari ini. 

- Advertisement -

Dr Noor Hisham berkata demikian sebagai respons kepada laporan akhbar The Sun yang berpangkalan di United Kingdom pada 8 Ogos bertajuk ‘Organs for Sale‘ (Organ untuk Dijual) yang mendakwa penglibatan seorang rakyat Malaysia. 

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata menerusi obligasi di peringkat negara dan antarabangsa itu, kementerian tidak menyokong mana-mana individu atau organisasi yang terlibat dalam pemerolehan organ secara haram dan tidak beretika serta akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa yang melakukan siasatan sekiranya perlu.  
 
Beliau berkata KKM juga telah menubuhkan jawatankuasa transplan yang mentadbir program pendermaan organ bagi melindungi penderma daripada komplikasi akibat maklumat tidak lengkap atau palsu mengenai pendermaan organ, selain menjamin aktiviti itu tidak melibatkan sebarang bentuk paksaan atau perniagaan.

“Semua langkah ini penting kerana keselamatan pesakit adalah keutamaan dalam sistem jagaan kesihatan kami,” katanya.

KKM juga menyeru lebih ramai rakyat Malaysia tampil sebagai pengikrar penderma organ.

Pada masa sama, adalah penting mereka yang berkenaan memaklumkan keputusan menderma organ itu kepada keluarga masing-masing, katanya.

Kementerian juga telah mewujudkan Pusat Sumber Transplan Nasional (NTRC) sebagai pusat sehenti yang menyediakan maklumat serta bantuan berhubung pendermaan dan pemindahan organ di Malaysia dan semua pertanyaan boleh dimajukan ke pusat itu menerusi talian  03-2681 0681 atau e-mel kepada [email protected]). – BERNAMA

- Advertisement -