Bukan-Islam rasa selamat berada dalam PAS

- Advertisement -

BANGI: “Biasanya mereka takut kita masuk Islam sebab itu mereka tak suka kita masuk PAS,” maklum Sathiabama Batumalai ketika ditemui semasa Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Bangi Kali ke-36 di Bangi Convention Centre hari ini.

- Advertisement -

Beliau yang merupakan Ketua Wanita Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Bangi telah menjadi salah seorang dari tiga penerima Anugerah Ahli Qudwah Hasanah semasa MAT kali ini atas sumbangan dan komitmen beliau selama lebih 10 tahun dalam PAS.

Walau pelbagai cabaran yang diterima bersama parti ini, beliau tetap memilih PAS selepas tertarik dengan akhlak dan sikap ahli PAS terhadap non-Muslim.

“Saya suka dengan pakaian Muslimat PAS, ia nampak sopan. Islam juga mengajar kita untuk berbuat baik dengan semua tanpa mengira kaum. Terbukti semasa COVID-19 ni, masyarakat India turut menerima bantuan daripada PAS, bukan Melayu sahaja,” ujarnya.

Beliau yang sangat berminat dengan program kebajikan telah memilih PAS sebagai parti untuk melebarkan lagi minat beliau membantu sesama rakyat di mana kegigihan beliau itu menyebabkan beliau tercalon untuk anugerah tersebut.

“Saya memang suka dengan aktiviti kebajikan. Dari kecil lagi saya dididik oleh mak untuk buat baik. Kalau ada 20 sen pun, saya tetap bagi supaya orang suka,” tambahnya lagi.

Penglibatannya dalam PAS juga telah mendapat sokongan padu dari suami dan ibu beliau sehingga mereka banyak membantu beliau membuat kerja kebajikan.

“Suami saya, kalau kata nak pergi program dengan muslimin dan muslimat PAS, dia mudah bagi izin. Kalau saya nak keluar dengan lelaki lain, dia sangat risau walau dia kenal lelaki tu,” senyum Sathia semasa bercerita pengalaman beliau bersama PAS.

Dalam MAT kali ini sebanyak lima anugerah telah diberikan iaitu Anugerah Cawangan Terbaik, Anugerah JPrUDM terbaik, Anugerah Penambahan Ahli Baru, Anugerah Jasamu Dikenang dan Anugerah Qudwah Hasanah. – HARAKAHDAILY 15/8/2020

- Advertisement -