UMMAH lapor polis kes taikun hartanah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) mengerahkan semua anggotanya di seluruh negara membuat laporan polis terhadap dua mantan pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan mantan peguam negara yang dipercayai menyalahgunakan kuasa sewaktu menjadi kerajaan.

- Advertisement -

Mereka adalah mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ketiga-tiga individu berkenaan dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Dato’ Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat pada 10 Ogos didakwa terlibat dalam campur tangan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Takiyuddin mendedahkan beberapa pucuk surat diminitkan oleh Tun Mahathir, Guan Eng dan Tommy kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya membatalkan pembekuan aset taikun hartanah, Tan Sri Lim Soon Peng berkaitan kes berkenaan. 

Pemangku Setiausaha Agung UMMAH, Khalil Idham Lim menegaskan, ini adalah kesalahan yang sangat serius melibatkan penyalahgunaan kuasa dan salah di sisi undang-undang negara.

Sehubungan itu, beliau tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Bagan Serai terhadap tiga individu berkenaan pada 12 Ogos lalu.

“Kesalahan ini disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 iaitu Pegawai Badan Awam atau anggota pentadbiran kerajaan menggunakan kedudukannya dalam membuat keputusan.

“Atau mengambil apa-apa tindakam berhubung dengan sesuatu perkara di mana dia, saudara atau sekutunya mempunyai kepentingan,” katanya. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -