RM6 juta bina ICQS di Telok Melano

- Advertisement -

SEMATAN: Kerajaan Persekutuan telah meluluskan projek pembinaan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di Telok Melano, di sini, melalui peruntukan sebanyak RM6 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12).

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan ICQS kekal ini akan menggantikan pos kawalan sempadan sementara yang ada sekarang yang telah dibina menggunakan peruntukan kerajaan negeri berjumlah RM500,000.

“Pembinaan kompleks kekal ini sangat perlu berikutan siapnya pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Bahagian Telok Melano ke pekan Sematan yang kini menjadikan antara destinasi pelancong baharu dan aktiviti perdagangan antara Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.

- Advertisement -

Sebelum itu, beliau telah merasmikan pos kawalan sempadan sementara itu dan majlis pecah tanah Masjid dan Anjung Usahawan Telok Melano yang terletak kira-kira 25 kilometer dari sini.

Katanya, Telok Melano yang mempunyai pantai yang bersih dan indah selain Taman Negara Samusang akan dibangunkan di bawah pelan induk pelancongan Bau-Lundu dan Sematan dengan penyertaan pihak swasta.
 
Sementara itu, Abang Johari berkata kerajaan akan menyediakan pelbagai kemudahan lain di Telok Melano bagi kegunaan pelancong dan kemudahan bekalan air paip untuk penduduk kampung di situ.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga sedang membina Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) Kampus Lundu, dekat sini, dengan peruntukan berjumlah RM10 juta bagi memperluaskan lagi peluang generasi muda negeri ini untuk meningkatkan kemahiran dalam bidang teknikal dan vokasional.

Menyentuh isu pihak berkuasa Indonesia membina sebuah pintu gerbang beberapa meter di dalam wilayah Malaysia di Telok Melano itu, beliau berkata perkara ini akan dibawa kepada perhatian Kementerian Luar memandangkan ia melibatkan hubungan dengan negara lain.

“Ia juga akan dibincangkan dalam Jawatankuasa Kerja Sosial Ekonomi Malaysia-Indonesia (SOSEK Malindo) dan kita ada beberapa persetujuan dengan pihak Kalimantan dan antara isu yang dibincangkan ialah mengenai sempadan kita,” katanya. – BERNAMA

- Advertisement -