Polis tumpaskan judi dalam talian di Pulau Pinang

KEPALA BATAS: Kegiatan judi dalam talian yang berselindung di sebalik premis perniagaan lain di daerah Seberang Perai Utara (SPU) berjaya ditumpaskan pihak polis dalam Ops Dadu baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah SPU ACP Noorzainy Mohd Noor berkata operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah SPU bermula 1 Julai hingga 10 Ogos lepas.

Menurutnya, sebanyak 25 serbuan dilakukan ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian dalam talian, manakala 15 individu termasuk empat wanita berusia 21 hingga 39 tahun turut ditahan.

Advertisement

“Kami mendapati modus operandi yang digunakan ejen-ejen perjudian itu ialah menjalankan kegiatan tersebut di bahagian belakang dalam premis perniagaan menjual pakaian terpakai, kedai runcit, kedai pakaian dan kedai telefon. 

“Kami juga mendapati pada bahagian pintu depan kedai akan ditebuk lubang atau ruang khas untuk mereka berurusan termasuk menjual kad tambah nilai bagi kegiatan itu. Polis percaya kegiatan ini dijalankan 24 jam terutama waktu malam untuk memudahkan pelanggan mereka,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Terdahulu, Noorzainy mengetuai operasi pemotongan bekalan elektrik terhadap premis yang sebelum ini dikesan menjalankan aktiviti perjudian dalam talian dan ekor haram di sekitar Bertam dan Tasek Gelugor.
 
Mengulas lanjut, Noorzainy berkata mereka yang ditahan dalam operasi itu pernah ditahan dan didakwa di mahkamah sebelum ini malah premis mereka juga telah beberapa kali diserbu. 

Katanya, terdapat premis yang diserbu memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kehadiran pihak polis dan ejen akan menutup kedai jika terdapat kelibat orang yang mencurigakan datang ke situ.

“Pelbagai taktik mereka gunakan namun pihak polis sentiasa memantau dalam usaha membendung kegiatan itu malah dalam operasi baru-baru ini kami turut membawa pasukan pakar judi bagi membantu polis mengesan premis yang menjalankan aktiviti tersebut,” katanya.

Beliau berkata polis juga memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik premis yang disewa ejen perjudian kerana membenarkan penyewa menjalankan kegiatan jenayah.

“Mustahil pemilik premis tidak tahu penyewanya menjalankan kegiatan perjudian. Operasi berikutnya polis akan ambil tindakan terhadap mereka (pemilik premis) juga. Hari ini kami ambil tndakan pemotongan bekalan elektrik mengikut Seksyen 21A(1) Akta Judi Terbuka 1966,” katanya. – BERNAMA