PAS-Umno Putatan tekad perkukuh muafakat

- Advertisement -

PUTATAN: PAS Kawasan dan Umno Bahagian bagi Parlimen Putatan telah mengadakan Pertemuan Mahabbah melibatkan kepimpinan kedua-dua parti tersebut yang berlangsung di Pejabat Umno Putatan, di sini kelmarin.

- Advertisement -

PAS Putatan diwakili oleh Yang DiPertua, Ustaz Muhammad Akmal Othman bersama Timbalan Yang DiPertua, Ustaz Zulzaim Hilmee Abidin serta Ketua Penerangan, Ustaz Arif Yusof dan Ketua Pemuda, Asrul Samat serta Ahli Jawatankuasa, Alimin Jasman.

Manakala Umno Putatan diwakili Ketua, Jeffery Nor Mohamed bersama Setiausaha, Ajlan Osman dan Ketua Pemuda, Riduan Datuk Aklee serta Ketua Wanita, Juriah Palasin dan barisan Ahli Jawatankuasa lain.

Pertemuan ini merupakan langkah positif dalam usaha mengukuhkan kerjasama PAS-Umno ke arah perpaduan ummah di Putatan khasnya dan Sabah umumnya.

Ia juga selari dengan Piagam Muafakat Nasional yang telah dimeterai pada Himpunan Perpaduan Ummah (HPU914) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur September tahun lalu.

Kerjasama dalam pelbagai aktiviti telahpun diadakan kedua pihak sebelum ini seperti majlis berbuka puasa, program kebajikan, sukan Pemuda, termasuk gandingan di PRK Kimanis, serta siri dialog.

Pertemuan tersebut juga mencapai kesepakatan untuk menyelaraskan kerjasama dalam PRN Sabah yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Kedua-dua pihak setuju dengan pembentukan jawatankuasa teknikal antara serta akan mempergiatkan kerjasama dalam program-program yang akan dilaksanakan.

Selain agenda perpaduan ummah, PAS dan Umno komited untuk meletakkan fokus keutamaan kepada pembelaan nasib rakyat, terutamanya mutakhir ini yang terjejas akibat pandemik COVID-19, musibah, bencana alam dan sebagainya. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -