MBSA perlu bertoleransi

- Advertisement -

SUNGAI BULOH: PAS Kawasan Sungai Buloh merayu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kembali bertoleransi kepada peniaga-peniaga kecil yang berniaga di sekitar kawasan Sungai Buloh.

- Advertisement -

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan, Zaharuddin Muhammad, tindakan merobohkan dan menyita lebih 35 buah gerai memberi kesan buruk kepada pendapatan peniaga-peniaga kecil yang berniaga di sekitar Sungai Buloh.

Katanya, beliau merayu agar MBSA mencari jalan memberikan kemudahan dan lesen kepada peniaga selain mengambil sikap toleransi terhadap peniaga-peniaga kecil yang kebanyakan mereka baru sahaja kembali bernaiaga selepas terkesan rentetan pandemik Covid-19.

“Kebanyakan dari mereka adalah rakyat dari golongan B40 yang sangat terkesan dari sudut pendapatan dan sangat bergantung kepada hasil jualan gerai-gerai kecil mereka di kawasan Sungai Buloh,” kata Zaharuddin.

Kata Zaharuddin, pihaknya menyedari bahawa wujudnya gerai-gerai tanpa lesen adalah toleransi dan bukan disebabkan semata-mata rasuah sebagaimana persepsi yang diviralkan.

Jelasnya, hanya kerana beberapa pegawai MBSA didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), tidak wajar dijadikan sebab untuk seluruh MBSA dihukum terlibat dengan kesalahan itu.

“Pihak kami turut menyedari tindakan penguatkuasaan oleh MBSA ini adalah sebagaimana kuasa yang tertakluk di bawah undang-undang yang diperuntukkan kepada MBSA.

“Tanpa mengganggu lalu lintas dan penduduk, PAS kawasan Sungai Buloh merayu kepada MBSA supaya mencari jalan memberikan kemudahan dan lesen serta mengambil sikap bertoleransi terhadap penaga-peniaga kecil yang kebanyakkan mereka baru sahaja berniaga semula selepas tejejas kesan dari pelaksanaan PKP akibat penularan Covid-19,” ujarnya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan satu memorandum kepada MBSA melalui Pegawai Tadbir MBSA, Yusni Konan berhubung isu sama di Pejabat MBSA Cawangan Sungai Buloh, di Bukit Rahman Putra, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, satu operasi bersepadu melibatkan MBSA, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam, SPRM, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan Air Selangor dijalankan bagi ‘membersihkan’ kawasan tersebut.

Dalam operasi tersebut 19 premis perniagaan tanpa lesen dikendalikan warga asing turut disita mengikut Undang-undang Kecil Penjaja MBSA 2007 Peruntukan 19 (meninggalkan barangan perniagaan di tempat awam) dan Peruntukan 3 (menjaja tanpa lesen) serta Peruntukan 42 (kuasa sitaan).

Manakala, sepanjang tahun ini sehingga awal Julai lalu, direkodkan sebanyak 25 premis perniagaan tanpa lesen diusahakan warga tempatan diambil tindakan.

Operasi tersebut dibuat susulan pendedahan pemilik Hot Burger, Asri Janggut yang mendakwa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan polis bersifat pilih kasih terhadap peniaga-peniaga di sekitar Bandar Baru Sungai Buloh beberapa hari lalu. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -