Kerajaan negeri cadang TEMCO di Mukim Tawar

- Advertisement -

PENDANG: Kerajaan Kedah akan mempertimbang cadangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di Mukim Tawar berikutan terdapat kluster baharu di kawasan terbabit.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman berkata, bagaimanapun ia bergantung keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

- Advertisement -

“Kita hanya boleh beri nasihat dan pandangan tetapi semua itu terpulang kepada MKN untuk membuat keputusan.

“Sekiranya TEMCO dilaksanakan, kita harap ia akan dilakukan segera bagi mengelakkan penularan wabak ke kawasan lain,” kata beliau di sini, semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilapor mengesan wujud satu lagi kluster di Kedah yang dikenali sebagai Kluster Tawar, di mana 9 kes didapati positif Covid-19 melibatkan ahli keluarga.

Mohd Hayati berkata, perbincangan lanjut akan dilakukan dengan Jabatan Kesihatan Negeri dan Pejabat Daerah Baling berkenaan perkara tersebut.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai yang pernah bertemu atau mempunyai kontak rapat dengan individu terbabit harap segera tampil membuat saringan.

“Kita minta orang ramai amalkan prosedur operasi standard (SOP), elakkan berkumpul beramai-ramai dan kalau boleh elak makan di kedai makan sebaliknya beli bungkus makan di rumah.

“Surau dan masjid juga diingatkan patuhi SOP, bawa sejadah masing-masing, elak bersalaman dan jaga jarak dengan jemaah yang lain,” katanya.

Beliau mengingatkan individu yang dipakaikan gelang pink kekal kuarantin di rumah seperti yang diarahkan. – HARAKAHDAILY 14/8/2020

- Advertisement -