SIC MiniGP cungkil bakat muda permotoran

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebagai usaha memperkasakan program permotoran di peringkat akar umbi, Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dengan kerjasama ZK Racing akan menganjurkan edisi sulung Kejohanan SIC MiniGP di Litar Kart Antarabangsa Sepang (SIKC), Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata SIC sentiasa mengalukan program akar umbi seperti Kejohanan SIC MiniGP, terutamanya dalam melahirkan lebih ramai bakat muda pada masa akan datang.

“SIC ingin melahirkan lebih ramai bakat muda pada masa akan datang melalui program ini, dan pelapis baru untuk saingan antarabangsa. Insya-Allah satu hari nanti, kita akan ada pelumba yang mampu mengibarkan Jalur Gemilang di podium dalam kejohanan berprestij MotoGP,” katanya dalam kenyataan semalam.

- Advertisement -

Pandangan sama turut disuarakan Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin yang memaklumkan pasukan berkenaan teruja untuk menganjurkan kejohanan tersebut buat julung kalinya.

“Saya sangat gembira untuk memulakan perlumbaan pada minggu ini. Ini acara pertama kami untuk program SIC MiniGP yang melibatkan pelumba dari usia lapan hingga 13 tahun.
 
“Persiapan kami juga dalam keadaan baik. Saya sangat berharap program ini dapat dijalankan dengan sempurna dengan kerjasama SIC dan MAM (Persatuan Permotoran Malaysia), serta sokongan daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” kata Zulfahmi yang merupakan bekas pelumba Moto3 negara.

Kejohanan berkenaan melibatkan lima pusingan perlumbaan, dan kesemua pusingan itu akan diadakan di SIKC.

Pusingan pertama akan berlangsung pada hujung minggu ini, disusuli baki empat lagi pusingan, masing-masing pada 6 September, 25 Oktober, 15 November dan pusingan akhir pada 6 Disember depan.

Kejohanan SIC MiniGP merupakan satu inisiatif program daripada akar umbi yang membolehkan 21 pelumba muda berusia antara lapan hingga 13 tahun untuk menimba pengalaman sebagai pelumba profesional.

Kejohanan itu akan dijalankan secara tertutup tanpa kehadiran penonton bagi mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. – BERNAMA

- Advertisement -