Negara stabil, tetapi Parlimen sebaliknya – Dr Rosni

- Advertisement -

WALAUPUN Malaysia sudahpun melalui fasa kemuncak politik pada awal tahun lalu, namun fenomena atau polemik itu tidak berakhir dengan begitu mudah.

Benar, negara dalam pemerintahan Perikatan Nasinal (PN) dilihat lebih stabil dan tenang dalam menguruskan pelbagai perkara termasuk menguruskan kelembapan ekonomi akibat pandemik Covid-19, namun rupa-rupanya PN kemungkinan dalam dilema.

- Advertisement -

Tiada desakan berlaku kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin seperti mana berlaku kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, akan tetapi PN sentiasa beringat bahawa hari tidak selalunya cerah hingga ke petang.

Kini, pelbagai tebakan politik dilontarkan mengenai Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 walaupun PN sebulat suara sudah menetapkan Muhyiddin sebagai calon Perdana Menteri ke-10.

Antaranya adalah bagaimana Bersatu dan Umno mahu duduk sebumbung dalam satu komponen untuk menentang melawan PH supaya PRU15 dapat menyaksikan pertembungan dua penjuru.

Rupanya tidak semudah itu, apabila Umno tidak bersetuju untuk mendaftarkan PN sebagai satu parti dan senario untuk Bersatu masuk ke dalam BN dilihat seolah-olah senario Bersatu dalam PH.

Bersatu mempunyai kerusi yang paling sedikit di dalam PH, begitu juga sekiranya Bersatu masuk ke dalam MN. Jadi apa langkah Bersatu selepas ini? Itu masih belum terjawab.

Kemudian, hasrat untuk bertanding dua penjuru dilihat lebih mustahil apabila Tun menubuhkan parti baru, iaitu Parti Pejuang Negara. Bagaimana pula dengan kem Azmin? 

Semua persoalan ini menimbulkan pelbagai andaian, namun dalam wawancara bersama Timbalan Presiden PAS, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, beliau ada memberi gambaran mengapa Umno terpaksa bertindak sedemikian.

Katanya, kemungkinan Umno terpaksa membuat keputusan untuk tidak menyertai PN disebabkan kedudukannya di dalam BN sendiri yang juga merupakan satu komponen.

Mustahil untuk Umno meninggalkan BN, namun mahukah Bersatu sertai Muafakat Nasional dan menjadi minoriti di dalam MN?

Sepatutnya tidak ada masalah memandangkan PAS dan Umno bersetuju mengekalkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, apa yang dibimbangi kemungkinan akar umbi akan muncul angin monsun barat.

Pimpinan MN di peringkat atasan akan melakukan apa sahaja demi memastikan negara terurus dengan baik, tetapi mampukah pentaksub politik berdiam diri tanpa sebabkan apa-apa kekeliruan kepada ahli akar umbi?

Rumit atau tidak?

Menyentuh soal sejauh mana parti baharu dapat memberi kesan kepada kestabilan politik negara, sebenarnya masih ramai warga Malaysia yang atas pagar untuk membuang undi kepada MN atau PN.

Ini mungkin tidak terlihat di Facebook yang majoritinya boleh dikatakan menyokong MN atau PN, tapi situasi ini jelas di media sosial generasi baru seperti di Twitter contohnya.

Dalam pemerhatian penulis, pengguna Twitter masih ramai yang tidak mahu mengakui kegagalan PH dan belum terbuka mengenai MN.

Mereka, generasi Z dan alfa tidak ada Facebook pun untuk dibaca setiap hari seperti mana generasi X dan Y yang menjadi Facebook sebagai sumber maklumat.

Kini, negara mungkin dapat diurus dengan baik, namun masih terdapat kekangan untuk meluluskan mana-mana usul untuk dibawa di Dewan Rakyat memandangkan jumlah perbezaan kerusi sangat tipis.

Oleh sebab itulah, PAS berpandangan ada juga keperluan untuk PRU15 dipercepatkan. 

Tidak dinafikan, PRU akan menelan belanja yang tinggi, dan sebab itulah PAS meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada mereka yang lebih arif untuk membuat keputusan dan PAS akan terima dengan hati yang terbuka.

Ini disebut dalam temubual bersama Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia, Dr Rosni Adam yang mana beliau menyatakan bahawa PAS bersetuju sekiranya PRU15 diawalkan, namun masih mempertimbangkan kesannya kepada ekonomi negara.

“Kalau ikut untuk kestabilan politik, ia memang perlu dilakukan dengan kadar segera supaya kita boleh mendapat mandat baru daripada rakyat. Cumanya kita ada pertimbangan lainlah untuk ekonomi negara.

“Sebab kita tahu, kalau nak buat PRU akan melibatkan kos yang tinggi, jadi mungkin kita serahkan kepada pimpinan negara kita bagaimana untuk mengaturnya.

“Dari sudut pemerintahan negara, Malaysia dikira stabil, emosi rakyat juga stabil sekarang, cuma masalahnya pada sidang Parlimen. Apabila kita nak meluluskan sesuatu Rang Undang-Undang (RUU) dan sebagainya, kita perlukan sokongan yang lebih mantap daripada yang ada sekarang lah dari segi Parlimen itu sendiri,” jelasnya kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -