Harga pelitup muka turun lagi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Harga siling bagi satu unit pelitup muka jenis tiga lapis jatuh daripada RM1.20 kepada RM1 bagi harga runcit berkuatkuasa bermula 15 Ogos ini.

Manakala, harga borong bagi seunit pelitup muka jenis sama jatuh daripada RM1.45 kepada 95 sen.

- Advertisement -

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Alexander Nanta Linggi, usaha ini diharap dapat membantu meringankan beban rakyat terutamanya ibu bapa yang perlu menyediakan pelitup muka untuk anak-anak mereka yang bersekolah.

Ia berikutan penguatkuasaan mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam yang dikuatkuasa bermula 1 Ogos lalu yang menyaksikan peningkatan permintaan pelitup muka.

“Kementerian telah memutuskan penurunan harga maksimum pelitup muka tiga lapis perubatan daripada RM1.45 seunit kepada 95 sen seunit bagi harga borong dan RM1.50 seunit ke RM1 seunit bagi harga runcit dan ia akan dikuatkuasakan pada 15 Ogos 2020,” ujarnya dalam satu sidang media di Parlimen, hari ini.

Tambah beliau, kerajaan berkemungkinan akan menurunkan lagi harga siling bagi pelitup muka jenis tiga lapis kepada 80 sen sekiranya ia diyakini dapat dipenuhi oleh pasaran.

Sementara itu jelas beliau, kerajaan pada masa sama turut menjalankan pemantauan ke atas premis perniagaan bagi melihat harga serta memastikan pelitup muka tidak terputus bekalan.

Peniaga dan penjual yang gagal mematuhi perintah tersebut di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti sehingga RM100,000 atau dipenjarakan melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.

Manakala, syarikat boleh didenda sehingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000 sekiranya didapati bersalah. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

- Advertisement -