29 Ogos mampu ukur hayat Pejuang

- Advertisement -

AKHIRNYA muncul juga nama parti baharu. Parti Pejuang Tanah Air muncul malam tadi ketika majlis memperkenalkan calon bebas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim.

Anehnya juga nama. Ia mencerminkan pengasasnya lahir sebelum era kemerdekaan. Sebelum merdeka banyak muncul parti dan pertubuhan diasas orang Melayu. Antaranya Parti Rakyat Malaya dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM).

- Advertisement -

Di bawah PKMM lahir pula Angkatan Pemuda Insaf (API) dan AWAS sebagai sayap pemuda dan wanita PKMM.

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) seakan-akan mengembalikan nostalgia lama. Perjuangan menuntut kemerdekaan.

Bagaimanapun AWAS akhirnya sertai Umno pada 1948 selepas PKMM, parti radikal Melayu itu ditekan British.

Mungkinkah Pejuang juga mengalami nasib serupa selepas ini. Asas penubuhannya tidak membumi seperti parti-parti lain.

Tiada peristiwa besar yang membawa penubuhan Pejuang. Berbeza dengan Semangat 46 dan Parti Keadilan Nasional (PKN).

Semangat 46 lahir daripada perebutan jawatan utama Umno pada pemilihan 1987. Kegagalan Tengku Razaleigh Hamzah dan Musa Hitam mencabar Dr Mahathir Mohamad dan Ghafar Baba membawa kepada episod tersebut.

Pemilihan dicemari dengan dakwaan wujud pengundi hantu. Itu isunya.

Begitu juga PKN ada episod yang mendebarkan sebelum muncul di pentas demokrasi. Anwar Ibrahim digugurkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri atas dakwaan liwat.

Konfliknya begitu besar sehingga membawa kebangkitan orang Melayu. Begitu juga kemunculan Parti Amanah Negara (PAN) dan Bersatu di alaf baharu.

PAN muncul selepas bekas-bekas pemimpin PAS kecundang pada pemilihan sempena muktamar 2015. Kumpulan itu diketuai Mohamad Sabu.

Begitu juga Bersatu muncul selepas Muhyiddin Yassin disingkirkan daripada Umno. Ketika itu Shafie Apdal juga terbabit sama.

Bagaimanapun Dr Mahathir tidak terbabit. Namun beliau bertindak sendiri keluar Umno untuk kesekian kalinya.

Kemudian bergabung dengan Muhyiddin menubuh Parti Pribumi Bersatu (Bersatu). Ternyata ada konflik besar yang sukar dirungkai sehingga muncul parti baharu.

Tiada sketsa besar

Namun agak berbeza dengan Pejuang. Tiada sketsa besar mampu diingati generasi akan datang. Segalanya bermula apabila Dr Mahathir meletak jawatan pada 24 Februari 2020.

Beliau meletak jawatan perdana menteri dan pengerusi Bersatu. Ekoran perletakan jawatan itu akhirnya muncul konflik negara.

Ia membawa sehingga campur tangan Istana Negara bagi meredakan keadaan. Meredakan situasi pada 27 Februari Dr Mahathir dilapor bersetuju sekiranya Muhyiddin mendapat sokongan dilantik menjadi perdana menteri.

“Ada kemungkinan beliau dicalonkan (jadi PM). Jika semua pilih Muhyiddin, saya OK. Jika beliau diberi majoriti di Parlimen dan Yang di-Pertuan Agong melantiknya, mengangkat sumpah dan semestinya dapat membentuk barisan kabinetnya,” kata beliau.

Itu asas kemelut politik yang berlaku pasca PRU-14. Konflik muncul kerana angkara sendiri dan bukan orang lain.

Tiada pihak memaksa Dr Mahathir meletak jawatan ketika itu. Malah istana juga menasihatnya menarik balik perletakan jawatan.

Ini sejarah yang perlu diketahui generasi muda. Bukan salah orang lain. Isunya sekarang relevankah Pejuang dalam situasi pecah belah kabilah orang Melayu sekarang.

Kata sarjana Sains Politik Prof Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, parti itu sukar untuk meyakinkan pengundi Melayu.

Ujarnya orang Melayu sudah dikuasai Umno, PAS dan Bersatu. Dan di satu pihak lain PKR dan PAN.

“Saya rasa parti baru itu tidak akan membawa banyak kemajuan. Orang Melayu menyedari hakikat undi mereka berpecah dan memberi kesan buruk kepada politik.

“Dr Mahathir nampaknya ingin mengulangi prestasi 1988 dengan Umno Baru yang mengalah Tengku Razaleigh, tetapi saya rasa masa telah berubah,” katanya seperti dilapor akhbar sebuah berbahasa Inggeris.

Lebih mendebarkan lagi apabila ada yang menyebut parti baharu memperlihatkan refleksi ego Dr Mahathir.

Lagi pun pada 12 Jun lepas Dr Mahathir pernah sebut nama ‘Parti Apa Aku Dapat’. Sekarang pula diuar-uarkan nama Parti Pejuang Tanah Air.

Ketika usianya menjejaki 95 tahun, Pejuang dibimbangi tidak ke mana-mana. Ke hilir tidak, hulu pun tidak.

Apa pun tidak sukar meneka aura Pejuang. Tanggal 29 Ogos boleh diterjemah isyarat awal. PRK DUN Slim mampu memperlihatkan jangka hayat Pejuang.

Isyarat itu edisi kedua selepas proksi Dr Mahathir gagal di Chini 4 Julai lepas. Peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi hanya sekadar taruhan kedua bekas perdana menteri terbabit. – HARAKAHDAILY 13/8/2020

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -