Tengok sijil PAS masing-masing, ikhlaskan niat

- Advertisement -

PARIT: Semua ahli dan pimpinan PAS diajak untuk melihat kembali sijil keahlian masing-masing sebagai muhasabah dan memastikan niat ikhlas untuk mencari keredhaan Allah S.W.T sepertimana yang tercatat di dalam sijil tersebut.

- Advertisement -

Seruan itu disuarakan Ketua Ulamak PAS Negeri Perak, Ustaz Ibrahim Zakaria semasa berucap merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Parit Kali Ke-54 di Dewan Dato’ Ahmad Hambal, Bota Kanan, di sini baru-baru ini.

Beliau pada ucapan itu sangat menekankan pentingnya syarat-syarat meraih mardhatillah dicapai iaity antaranya dengan latihan dan tarbiyah kesabaran, sentiasa bersyukur dan menjaga hubungan dengan Allah S.W.T.

Yang DiPertua PAS Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib juga dalam ucapannya menekankan kepentingan mencapai keredhaan Allah sebagai matlamat utama di mana politik adalah wasilah untuk sampai kepada maksud tersebut.

Demikian itu beliau menyeru suapaya menjaga hubungan dengan Allah dan sesama manusia melibatkan juga soal adab dan akhlak serta mengambil berat aspek amar maaruf nahi munkar, selain aktif melaksana agenda kesejahteraan dan kebajikan.

“Kita bakal berdepan sebarang kemungkinan perkembangan politik tanah air hari ini. Jadi semua jentera perlu berada dalam keadaan siap siaga dan bertindak menggerakkan aktiviti di posisi masing-masing termasuk kemungkinan PRU lebih awal,” ujar beliau.

Pada majlis itu, PAS Parit turut melancarkan Sambutan Bulan Kemerdekaan yang dibuat sengan kempen kibaran Jalur Gemilang dan pemasangan bendera di kenderaan terpilih. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -