Semangat ‘parti kerajaan’ suntik PAS Nibong Tebal

- Advertisement -

NIBONG TEBAL: Mesyuarat Agung PAS Kawasan Nibong Tebal Kali Ke-36 telah dilangsungkan dalam semangat PAS sebagai parti pemerintah kerajaan yang diadakan di Dewan Besar PERDA TECH, Bukit Panchor, di sini kelmarin.

- Advertisement -

Yang DiPertua PAS Nibong Tebal, Nor Zamri Latiff menyifatkan hal tersebut sebagai satu sejarah yang menuntut untuk setiap ahli PAS terus istiqamah secara lebih berfokus dan tersusun melaksanakan gerak kerja selaku parti kerajaan.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Ulamak PAS Negeri Pulau Pinang, Ustaz Ahmad Tajuddin Abu Bakar yang mengajak perwakilan meluaskan gerak kerja dakwah, siyasah dan tarbiyah kepada masyarakat.

Hal tersebut kupasnya, selaras arahan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada Muktamar Tahunan PAS di Kuantan Pahang tahun lepas yang membahagikan 70 peratus tumpuan kepada masyarakat melalui Budaya Politik Matang Sejahtera.

“Kesatuan fikrah, bersabar dalam perjuangan menentang musuh dan ikhlas antara elemen terpenting untuk kita terus istiqamah dalam Gerakan Islam PAS ini,” ujarnya mengupas bahagian 30 peratus gerak kerja dalaman.

Sempena majlis ini, PAS Nibong Tebal telah menyampaikan tujuh anugerah iaitu Anugerah Khas Jasamu Dikenang kepada Almarhum Rohizan Khalib dan Almarhum Muhammad Azian Abdul Rahman, manakala PAS Cawangan Sungai Air Itam dinobat Anugerah Paling Aktif.

Anugerah Infak Tetap Terbanyak diterima PAS Cawangan Jalan Sempadan Permatang Tok Mahat yang turut merangkul Anugerah Ahli SkimPAS Teramai dan Anugerah Langganan Harakah kepada PAS Cawangan Sungai Bakau.

Sementara Anugerah Infak Ramadhan dapat kepada PAS Cawangan Sungai Duri dan Anugerah Penyumbang Individu Istiqamah kepada Ustazah Juairiah Abdul Rahman.

Perwakilan juga diberitahu Setiausaha PAS Nibong Tebal, Hasnor Zikri mengenai penubuhan 10 penaja PAS Cawangan dalam bulan Julai dan Ogos dengan lapan lagi pada bulan ini dan September, sekali gus memperkukuh dengan 33 PAS Cawangan semuanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -