RM1.264 trilion hutang, liabiliti kerajaan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Kewangan I, Dato’ Abd Rahim Bakri memaklumkan bahawa kedudukan hutang dan pendedahan liabiliti kerajaan dianggarkan berjumlah RM1.264 trilion pada akhir tahun ini.

Katanya, ianya mengambil kira defisit keseluruhan pada tahun ini termasuk pembiayaan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi yang dilaksanakan berikutan kesan pandemik Covid-19.

- Advertisement -

Bagaimanapun katanya, kedudukan kewangan akan disemak dan diperinci dalam pembentangan Belanjawan 2021 nanti.

Menurutnya, jumlah hutang negara berdasarkan Standard Government Finance Statistics 1986, hutang Kerajaan Persekutuan adalah sebanyak RM823.8 bilion iaitu berdasarkan had statutori kedudukan hutang adalah pada kadar 53.6 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Walau bagaimanapun katanya, kerajaan juga menanggung dan terdedah kepada tanggungan komitmen kewangan.

“Pertamanya, komitmen jaminan sebanyak RM166.9 bilion bagi melaksanakan projek infrastruktur seperti pengangkutan awam.

“Keduanya, hutang syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM32.6 bilion serta anggaran liabiliti kewangan lain sebanyak RM181.4 bilion merangkumi beberapa projek,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di dalam Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PH-Lanang) yang bertanya mengenai jumlah hutang negara dan liabiliti sebenar kerajaan terkini dan hasil jumlah anggaran hasil pendapatan negara pada tahun 2020.

Berhubung anggaran hasil negara katanya, semasa pembentangan Belanjawan 2020 kerajaan telah mengumumkan unjuran hasil adalah RM244.5 bilion dengan andaian harga minyak mentah dunia (brent) USD62 setong.

Namun jelasnya, susulan krisis pandemik Covid-19 dan ketidaktentuan harga komoditi telah memberi impak kepada kewangan kerajaan dan berdasarkan situasi semasa anggaran hasil dijangkan akan mengalami pengurangan berikutan harga minyak mentah dunia yang masih rendah USD41.

“Berikutan kesan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas ekonomi, kerajaan mengambil langkah proaktif melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi serta inisiatif percukaian termasuk pengecualian cukai dan penangguhan bayaran cukai perniagaan dalam sektor pelancongan.

“Sehubungan dengan itu, kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan pada tahun 2020 dijangka mencatat defisit fiskal 5.8 hingga 6 peratus berbanding anggaran asal 3.2 peratus daripada KDNK,” jelas Abd Rahim lagi.- HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -