Pembangkang Kedah dilulus peruntukan bulanan

RM2,000 bagi tujuan khusus pengurusan Pusat Khidmat ADUN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kedah telah meluluskan peruntukan bulanan sebanyak RM2,000 bagi setiap Pusat Khidmat ADUN Pembangkang di negeri itu, demikian umum Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.

Menurut beliau, kelulusan itu diberikan dari keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang kemudian diumumkan beliau kepada wartawan pada sidang media mingguan di Wisma Darul Aman, Alor Setar sebentar tadi.

“Saya telah ditanya berkaitan dengan dasar-dasar kerajaan baru oleh Yang Berhormat daripada Gurun (Dato’ Johari Abdul). Sepatutnya saya jawab dalam Sidang DUN, tapi saya mengambil keputusan daripada mesyuarat EXCO sebentar tadi.

- Advertisement -

“Kerajaan Perikatan Nasional ini akan meneruskan dasar menyediakan peruntukan pembangunan kepada ADUN-ADUN Pembangkang RM70,000 setahun yang boleh digunakan untuk kerja-kerja baik pulih infrastruktur di DUN masing-masing.

“Dan buat kali pertama, Kerajaan Negeri Kedah ini di bawah Perikatan Nasional meluluskan juga peruntukan pengurusan pusat khidmat kepada ADUN Pembangkang RM2,000 sebulan. Kerana masa saya jadi pembangkang, saya tak dapat duit itu.

“Dan tak pernahlah diberi sebelum ini pun oleh mana-mana kerajaan. Atas kebaikan hatilah, Kerajaan Perikatan Nasional sekarang ini kita mempertimbangkan untuk bagi kepada Pusat Khidmat ADUN Pembangkang RM2,000 sebulan,” ujarnya.

Menurutnya, peruntukan tersebut mulai September yang boleh digunakan untuk menguruskan bayar bil, gaji dan elaun kerani, pembelian keperluan pejabat atau sebarang pengurusan pusat khidmat masing-masing.

Oleh itu untuk tahun ini katanya, kelulusan itu akan melibatkan peruntukan RM104,000 kepada semua 13 Pusat Khidmat ADUN Pembangkang di negeri Kedah. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -