Pasang bendera Malaysia, Johor secara terbalik

- Advertisement -

JOHOR BAHRU: Pengurus kilang perusahaan perabot merupakan antara empat individu yang ditahan kerana memasang bendera Malaysia dan bendera negeri Johor secara terbalik dalam kejadian di Kawasan Perindustrian Tebrau, di sini, semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata selain pengurus lelaki warga tempatan berusia 56 tahun itu, turut ditahan adalah pegawai sumber manusia wanita warga tempatan (29 tahun), seorang kerani logistik wanita warga tempatan (23 tahun) dan seorang lelaki warga Bangladesh (35 tahun).

Katanya, tangkapan itu dibuat susulan aduan daripada orang awam yang diterima pihaknya sebelum pemeriksaan dilakukan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Dato Onn pada 2.07 petang.

- Advertisement -

Menurutnya, hasil pemeriksaan di kilang yang telah beroperasi sejak lapan tahun lepas itu, mendapati kedua-dua bendera itu dipasang dengan terbalik.

“Alasan yang biasa diberikan dengan mengatakan bendera itu dipasang oleh pekerja warga asing. Sebagai rakyat Malaysia, mereka harus prihatin dan proses pemasangan bendera oleh warga asing itu pula harus diselia. 
 
“Sebab itu, kita tidak boleh terima lagi alasan sebegini, habis apa peranan pemilik kilang itu sedangkan ia telah beroperasi selama lapan tahun dan kita pula merdeka sudah 63 tahun,” katanya kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau berkata dua bendera tersebut turut dirampas semasa pemeriksaan dilakukan.

Ayob Khan berkata kes memasang bendera secara terbalik tidak seharusnya dianggap remeh kerana kedaulatan dan keamanan negara harus sentiasa dijaga.

“Sepertimana yang saya tegaskan sebelum ini, Polis Johor tidak akan menerima lagi alasan… saya ingin menasihatkan, tindakan tegas akan diambil mengikut undang-undang sedia ada jika masih ada perbuatan sebegini,” katanya.

Ayob Khan berkata keempat-empat suspek berkenaan ditahan untuk diambil keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. – BERNAMA

- Advertisement -