Mengenang Dr Yaakob, tokoh tarbiyah PAS

- Advertisement -

AMANAH ialah apabila sesuatu urusan, benda dan lain-lain lagi diberikan pada seseorang untuk dilakukan, disimpan atau dijaga maka kita yang menyerahkannya itu merasa ‘aman’, maka orang yang diamanahkan itu adalah seorang yang ‘amanah’.” (Dr Yaakob Yusuf.)

- Advertisement -

Manusia yang hebat ialah apabila meninggalkan alam ini namun akan terus diingati kerana kebaktiannya memanusiakan manusia. Jasanya dikenang dan disebut kerana menjadi lantera yang menyuluh kegelapan, hidup yang bermisi akhirat pastinya tidak akan pernah rugi. Tempoh enam tahun ini, kita kehilangan ramai tokoh besar perjuangan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Ustaz Harun Taib, Ustaz Abu Bakar Chik, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman, Tuan Guru Dr Haron Din dan Dato’ Seri Ustaz Azizan Razak serta puluhan yang lain.

Pimpinan gerakan Islam atau Jemaah Islam adalah berbeza dengan mana-mana parti politik, jasa mereka disertai dengan usaha membina peradaban ilmu serta mencetak kader-kader dakwah. Mereka hidup bukan untuk mengkayakan diri namun mewariskan perjuangan Islam kepada generasi muda. Dalam sakit dan keuzuran tetap akan menyampaikan ilmu Islam dan tidak meletakkan ilmu sebagai alat mencari sumber kekayaan dan menonjolkan diri.

Mesej ringkas daripada Ustaz Mad Khairol, juga daripada Haji Zulwahijan, mengkhabarkan kepulangan Ustaz Dr Yaakob Yusuf ke rahmatullah seperti percikan petir yang mengoncang sukma. Terasa ralat kerana tak sempat menziarahi bertanya khabar dengan musim pandemik yang panjang sejak awal Mac tahun ini. Insan ini mungkin tak dikenali oleh anak muda dan generasi baru gerakan Islam tapi popular kepada abnaul harakah dalam pertengahan dekad 90an dana awal milinea baru.

Sosok besar dalam Lujnah Tarbiah PAS Pusat semenjak pulang dari bumi UK, antara yang mengasaskan ILHAM sebagai produk tarbiah PAS bagi melahirkan amilin yang kompeten serta melahirkan tenaga nuqoba disemua peringkat. Mantan pensyarah UITM (Universiti Teknologi Mara) adalah regu dalam Jawatankuasa Tarbiah Pusat serta pembangun modul ILHAM seperti Dr Shaari Endut , Dr Asiah Ali. Kelibat mereka sering kelihatan di Markas Tarbiah Taman Melewar yang kini lebih dikenali sebagai KUIZM.

Dr Yaakob atau Ustaz Yaakob sinonim dengan watak pendidik dan jurubina dalam jemaah. Perkaderan pelajar pusat pengajian tinggi dalam dan juga luar negara. Mungkin berbeda dengan tokoh-tokoh amal tarbawi yang lain, beliau bukan anggota legislatif namun pensyarah kampus tempatan yang sentiasa memenuhi jadual mengadakan pengisian. Bagiku insan ini tak terhitung baktinya kepada medan amal Islami di tanahair ini walaupun orang awam kurang mengenali namanya atau kerana kepetahan pidato yang membakar api semangat.

Beliau antara tokoh kaderisasi dakwah yang unggul dalam PAS, selain almarhum Ustaz Yahya Othman, Ustaz Harun Taib dan Tuan Guru Presiden PAS. Semenjak pulang ke Malaysia daripada pemukiman ilmu di United Kingdom, beliau secara separuh masa mewakafkan diri beliau dalam perjuangan, membangunkan PAS yang mula mendapat tempat direlung hati anak-anak muda terpelajar di awal dekad 90an akibat kebangkitan Islam yang sedang menyelimuti dunia Islam. Kelantan menjadi pemangkin kepada kebangkitan Islam bila diperintah oleh PAS, beliau pula pensyarah UITM yang sentiasa diperhatikan pihak berkuasa kampus. Semasa dalam perkhidmatan, beliau pernah ditukarkan berkhidmat ke Sarawak oleh pihak UITM namun ini tak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

Dr Yaakob antara murabbi jemaah di UK, membangunkan saff awal Hizbi Islami UK pada tahun 1989. Antara kader usrah Hizbi UK ialah Hj Zulkifli Wahijan, Wan Azman, Shahmizan Ismail, Mokhtar Kamil, Kamal Azizi, Ilya Hani dan lain-lain pelajar pintar. Apabila pulang ke tanahair, selain membangunkan ILHAM dan beliau menjadi Ahli Jawatankuasa (AJK) Lujnah Tarbiah Pusat, sosok ini juga terlibat aktif dalam perkaderan dakwah dikampus tempatan. Beliau juga antara tonggak yang melahirkan penubuhan Institut Latihan Perguruan Kelantan (ILPK) sehingga melahirkan Dasar Pendidikan Rabbani Kelantan (DPRK). Di semenjak zaman almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat beliau sering ke Kelantan bagi membantu kerajaan Kelantan dalam memberikan idea dalam ruang pemberdayaan pendidikan.

Semasa terlibat aktif dalam perkaderan mahasiswa di United Kindom sehingga awal dekad 90an, Dr Yaakob juga membina jaringan keluarga PAS ,terutama pelajar-pelajar pasca siswazah. Isterinya Kak Sham, juga terlibat sama dalam merimbunkan ukhuwwah sesama pelajar Malaysia, bahkan rumah mereka yang terletak di Aston, turut ditumpangi oleh pelajar Malaysia jika berprogram. Nama beliau sangat harum kepada pelajar Malaysia di Coventry dan Birmingham, antaranya sempat bersama Dr Mohd Fazli Hassan (kini AJK PAS Pusat).

Penulis semasa menjadi Setiausaha Lujnah Tarbiah DPP Wilayah Persekutuan pada tahun 1995 dan tokoh ini antara yang sering mengisi program liqa fikri dan usrah gabungan dalam kawasan-kawasan dalam Wilayah Persekutuan. Gaya penyampaiannya juga dengan mencatat pada papan putih untuk memahamkan pendengar dengan senyum khasnya yang akan sentiasa kita ingati.

Tokoh tarbiyah ini juga terlibat mengajar di masjid surau sekitar Shah Alam seperti di masjid TTDI Jaya dan lain-lain. Almarhum semenjak menjadi pensyarah di UITM Shah Alam dikesan mengidap sakit jantung, seterusnya pulang berkhidmat di Kelantan. Di tanah asal kelahirannya itu, bakat dan tendensinya juga disalurkan untuk membangunkan sektor pendidikan.

Jam 5.40 pagi hari ini almarhum telah pulang ke negeri abadi setelah beberapa hari lepas mengadakan pembedahan jantung. Ribuan anak muridnya samada didalam kelas formal atau tidak formal, akan terus mengingati sang murabbi bersuara lirih ini. Murabbi ini mampu mengikat dan menjinakkan hati kita semua supaya terus menerjang badai perjuangan dan jangan berpaling tumit. Selamat jalan Ustaz Dr Yaakob Yusuf, Untaian kata- kata nasihatmu tetap kami sematkan di relung dada kami, kami akan terus menggalang tugas dakwah ini… Al-Fatihah.

DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -