KOTA BHARU: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menubuhkan satu kumpulan elit terdiri daripada 78 orang pegawai dan penolong pegawai pertanian KADA dalam usaha merealisasikan hasrat kerajaan meningkatkan pengeluaran hasil padi negara.
Pengurus Besar KADA, Nik Roslan Idris berkata pemilihan anggota kumpulan elit itu akan dilakukan dalam kalangan petugas di ibu pejabat, jajahan dan Pertubuhan Peladang Kawasan yang akan dipertanggungjawabkan melaksanakan dasar berkaitan pertanian secara berfokus, terutamanya bagi meningkatkan taraf sosioekonomi petani KADA.
“Sasaran KADA adalah untuk menghasilkan sehingga 10,000 tan bagi satu musim, namun pada masa ini, purata hasil padi KADA adalah antara 4.136 tan/ha hingga 4.61 tan/ha bagi tempoh tahun 2013 hingga 2018,” katanya.
Perkara itu dinyatakannya ketika ditemui Bernama selepas merasmikan majlis persidangan program Kumpulan Berfokus Rice Subject Matters Specialist (Rice-SMS) di sini semalam.
Menurutnya meskipun trend penghasilan padi di Kelantan semakin meningkat, namun ia masih berada pada tahap sederhana dan melalui sistem penyampaian maklumat yang lebih tersusun ini, ia diharap dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi sekali gus mencapai matlamat yang disasarkan.
Katanya, menerusi program kumpulan Rice-SMS ini juga ia dapat memantapkan pegawai terlibat dengan pengetahuan dan kemahiran terutama dalam penggunaan teknologi baharu.
“Cabaran yang dihadapi pada masa ini adalah untuk meningkatkan hasil pengeluaran padi memandangkan keadaan sumber tanah yang semakin berkurangan di kawasan KADA,” katanya.
Nik Roslan bagaimanapun berkata, usaha ini tidak akan berjaya sekiranya pegawai pertanian KADA yang terlibat gagal memainkan peranan dengan baik terutama dalam menerapkan amalan pertanian baik.
“Melalui perkhidmatan pengembangan, pegawai kita yang mahir dalam bidang padi akan dapat membimbing petani untuk menguruskan tanaman padi melalui pengurusan tanah, pembajaan, pengairan, pengawalan perosak dan penyakit dan pengendalian teknologi pascatuai,” katanya. – BERNAMA