Kes LGE, usah tuduh ia bermotif politik

Senator Ustaz Idris Ahmad (Foto SYAHIRAH SALLEH)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belum lagi selesai perbicaraan sudah tertanam di kepala Lim Guan Eng dan pemimpin DAP yang lain menyifatkan segala tuduhan yang menyebabkan Guan Eng terheret ke perbicaraan mahkamah didakwa bermotifkan politik.

Tanpa Setiausaha Agung DAP itu sedar sebelum ini, kes bersabitan pembelian banglo yang nyaris-nyaris mencalarkan lagi karier politiknya setahun lalu sebelum ia mengangkat sumpah sebagai Menteri Kewangan.

- Advertisement -

Guan Eng dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang atas pertuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.

Kes itu menjadi ‘tidak masuk akal’ kepada bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Lateefa Koya yang menyifatkan tiada keperluan untuk membuka semula kes terbabit berikutan mahkamah telah membuat keputusan.

Sedangkan ketika itu, SPRM sendiri terkejut dengan keputusan mahkamah dan menegaskan keputusan berkenaan dibuat oleh bekas Peguam Negara Tommy Thomas bukan dari SPRM.

Walau bagaimanapun, kali ini Guan Eng terheret sekali lagi ke mahkamah. Sudah tentu, ia takkan mengaku bersalah kerana itu adalah haknya untuk mempertahankan diri.



Namun agak kekok bila mana jika pihak lain diheret ke mahkamah, dengan semberono ia berkata ini adalah demi keadilan, bila kena kepadanya sendiri, ringan sahaja mulutnya menuduh semua ini bermotifkan politik.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, yang menentukan sama ada Guan Eng bersalah atau tidak hanya mahkamah yang berhak menentukannya, bukan media dan netizen.

Ujarnya Guan Eng adalah ahli politik yang berpengalaman, beliau pernah menjawat sebagai Ketua Menteri dan jawatan menteri dalam kabinet.

Justeru itu, anak kepada Lim Kit Siang itu sewajarnya mengerti perjalanan pentadbiran undang-undang negara yang mengamalkan konsep pemisahan kuasa iaitu antara badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman.

Ini yang ditekankan oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) bagi mengelakkan penyelewengan kuasa sekali gus mengekalkan asas demokrasi negara.

Maka, SPRM yang merupakan sebuah badan bebas akan menggali dan mencari sebarang bukti bersabit kesalahan yang sedang dikenakan terhadapnya.

“Dalam soal ini terserah kepada SPRM untuk membuktikan di dalam mahkamah dan di situlah dia akan menjawab apa tuduhan-tuduhan yang dikenakan kepada dia.

“Kita tidak mahu jugak sikap yang ditunjukkan oleh pimpinan-pimpinan DAP ini apabila kena pada orang lain ‘ini keadilan yang disanjung’.

“Bila kena kepada dia maka mereka anggap bahawasanya perundangan kita dicabul, itu satu sikap ‘double-standard’ dalam konteks ini,” ujarnya kepada Harakahdaily selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Bandar Tun Razak, pada 8 ogos lalu.

Turut hadir pada program perasmian itu, Ketua Umno Bahagian Bandar Tun Razak, Dato’ Rizalman Dato’ Mokhtar dan Ketua Bahagian Bersatu Mohd Shahni Ismail dan Ketua Dewan Muslimat PAS, Bandar Tun Razak, Dr Rosni Adam.

Pada 7 Ogos, Guan Eng didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan meminta suapan berkaitan projek terowong bawah laut di Pulau Pinang.

Beliau dituduh meminta suapan berjumlah 10 peratus daripada jumlah keuntungan yang bakal diperoleh daripada pengarah kanan eksekutif Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

SPRM dalam kenyataan media menyatakan Guan Eng didakwa atas tiga pertuduhan, dua daripadanya melibatkan kes terowong dasar laut dan satu kes berlainan.

Pada pertuduhan pertama, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009 kerana meminta suapan membabitkan projek terowong dasar laut di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Guan Eng bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Beliau dibenarkan diikat jamin RM1 juta. – HARAKAHDAILY 12/8/2020



- Advertisement -