Kerja keras pegawai lonjak KDNK Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sebelum ini ekonomi Kelantan sering dianggap ketinggalan berbanding negeri-negeri lain, biarpun kuasa beli rakyat begitu tinggi.

- Advertisement -

Baru-baru ini Jabatan Perangkaan Malaysia mengeluarkan Laporan Sosioekonomi Negeri 2019 mengenai data Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Kelantan mencatat kadar pertumbuhan ketiga tertinggi iaitu 5.3 peratus kemudian diikuti Wilayah Persekutuan Labuan (5.2 peratus), Negeri Sembilan (5.1 peratus), Kedah (4.6 peratus) dan Perlis (4.6 peratus).

Pertumbuhan paling tinggi dicatat Selangor iaitu 6.7 peratus dan kedua Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 6.0 peratus.

Mengulas perkembangan itu Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, kejayaan tersebut hasil dasar kerajaan negeri dan kerja keras pegawai serta kakitangan di semua peringkat.

“Kerjasama semua agensi kerajaan negeri termasuk Persekutuan antara punca kedudukan itu dapat dicapai Kelantan.

“Alhamdulillah kerajaan negeri amat bersyukur apabila Kelantan diumumkan antara tujuh negeri mencatat pertumbuhan ekonomi melebihi kadar nasional sebanyak 4.3 peratus,” katanya ketika ditemui selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Malah kata beliau, Kelantan menduduki tempat pertama dari segi pertumbuhan ekonomi negeri daripada tujuh negeri terbabit. – HARAKAHDAILY 12/8/2020

- Advertisement -